Ahad, 10 Julai 2011

#6-Dalam kegelapan tandas

Bandar Pontian kian sunyi, bandar baru dan lama bagi daerah Pontian sama saja-pembangunan yang sederhana. Kalau bosan suasana dibandar lama, pergi ke bandar baru, kalau bosan bandar baru boleh ke Bandaraya Johor Bahru. Tak lama, kalau naik bas Syarikat Maju dalam 1 jam lebih saja perjalanan.

Kalau nekad, ada juga yang dengarnya berbasikal, selamba saja, ke JB.

Malam itu Youli Ontosoroh Ponorogo, jejaka berasal dari Jawa Tengah, berjalan perlahan.

Beliau bekerja kontrak dengan orang atas orang, mudahnya kalau disuruh ketuanya pergi bekerja dengan pemaju ini, maka Youli menurut, disuruh mengecat bangunan dibuat, disuruh tanam pokok hiasan dibuat, disuruh menjaga rumah kedai baru pun dibuat juga.

Youli baru balik melepak di bandar lama, kawasan kegemarannya ialah di kawasan ‘bus stand’ Pontian. Kawan-kawannya masih melepak lagi, cuma Youli saja yang mahu pulang. Mengantuk. Beliau mahu segera sampai ke rumah kongsi pekerja, mahu terbaring tidur.

Bangunan-bangunan rumah kedai dibahagian depan jalan masuk ke bandar baru, atau orang Pontian panggil-Tambak, dan bahagian tengah Tambak telah bergelap, cuma yang nampak masih ada aktiviti manusia ialah di sekeliling kawasan berhampiran restoran mamak dihujung bersebelahan medan selera dimonopoli peniaga Cina.

Untuk sedikit ilmu Geografi, kawasan Tambak ini dibahagikan kepada beberapa bahagian ABCDE entah berapa lagi. Ada kawasan yang sudah dijual unit komersial, ada kawasan yang masih dalam pembinaan, ada kawasan yang sedang ditanam cerucuk, ada kawasan yang masih ditambak tanah, dan ada tanah yang masih belum lagi ada perancangan pembinaan diatasnya. Luas kawasan Tambak jauh lebih luas dibandingkan pusat bandar lama.

Jenis penggunaan tanah ialah komersial.

Maka hasil pembangunan di Tambak, banyak operasi perniagaan telah berpindah dari bandar lama. Namun hairannya, ahhhh tak perlu diceritakan disini, ini cerita seram bukan kertas Pengajian Am.

Youli berjalan menyusur unit-unit kedai yang masih kosong. Kalau waktu siangnya, kita boleh lihat Youli menyapu sampah dikoridor unit bangunan ini dan berpindah-pindah dari satu unit ke satu unit. Kalau nasib lagi baik, kita boleh lihat Youli mengular dikawasan luar Tambak mencari rokok murah.

Suasana yangkelam-kelam diterangi lampu jalan ditambah cat merah pada bangunan yang masih tidak terjual, memang agak seram kalau berseorangan. Youli berjalan laju sedikit.

Youli tiba-tiba terasa mahu membuang air kecil. Sebagai pekerja yang memang bekerja dikawasan unit komersial ini, Youli tahu pintu unit mana yang boleh dimasukinya untuk membuang air. Berlari Youli seberapa segera menuju ke satu pintu belakang unit rumah kedai. Tangannya meraba poket mencari pemetik api. Selagi belum ada pembeli maka unit ini memang masih tiada kemudahan elektrik dan air. Kalau setakat buang air kecil boleh lah didalam tandas dalam bangunan.

Dipulas tombol pintu, tapi pemetik api masih tidak dijumpai, Youli meraba mencari mancis dalam poket baju kain jeansnya, oleh kerana sudah biasa dengan bangunan ini, walaupun bergelap Youli tahu mana letaknya bilik air.

Dibuka pintu bilik air, tangannya menjumpai mancis, ditahan sebentar niat alaminya. Nyalakan dulu mancis. Ctisss (bunyi mancis dinyalakan). Diunjuk ke depan bagi memudahkan buang air.

‘Yesus Kristus!!!!!!!’

Jeritan Youli kedengaran hingga ke rumah kongsi pekerja dibelakang hampir 500 meter jaraknya dengan bangunan rumah kedai dimasuki beliau tadi.

Malangnya tiada sesiapa datang menjengah. Semangat buluh runcing tiada sudah.

Pagi esok bila seorang pekerja am bernama Pak Mat datang menyapu sampah, beliau terjumpa Youli yang terbaring pengsan. Diluar rumah kedai, atas penutup longkang batu.

………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………

‘Betul, mukanya memang buruk sekali Pak Mat. Dalam bangunan itu kan gelap, jadi memang jelaslah rupanya kerna dekat sangat dengan nyala api mancis.’ kata Youli bercerita waktu penulis, Pak Mat(pekerja am tadi), Farook (pekerja pemaju kawasan Tambak), arwah Kareem (rakan sejawatan Farook) dan seorang lagi pelajar praktikal seperti penulis, berhenti rehat jam 10 pagi.

Kami minum di Restoran As Zalam berhampiran pasar basah Pontian.

‘Waktu mancisnya saya bakar, dia sudah duduk atas tandas duduk itu. Macam tunggu saya.’ tambah Youli. Kami mendengar saja ceritanya.

‘Mukanya hitam, tompok-tompok, seperti mayat reput itu.’ terang Youli.

‘Rambutnya panjang dan kasar gitu, memang hantu Kuntilanak lah itu kacau sama saya.’ jelas Youli lagi.

‘Habis kau buat apa waktu dah nampak tu Li?’ tanya Farook mengunyah roti canai.

‘Doa saja sama Tuhan, lalu pingsan. Hahaha’ gelak Youli mentertawakan dirinya. Kami semua tergelak sama.
Youli

p/s-Youli beragama Kristian, dan penulis membuat latihan praktikal di Tambak pada 4 tahun lepas. Jangan tanya penulis unit kedai mana satu yang diceritakan disini. Kerahsiaan terpelihara.

Tiada ulasan: