Sesekali penulis menyertai geng-geng Rela di kampung. Penulis bukan ahli Rela tapi memandangkan kawan-kawan sekampung cukup ramai menyertai pertubuhan tersebut, jadi penulis pun saja-sajalah ikut. Bosan juga mengadap laptop. Internet dibekalkan Celcom Broadband pula lembap Nauzubillah, jadi keluarlah rumah kadang-kadang malam jika kebosanan.
Tugas mengawal keselamatan ini kadang-kadang seronok bila beramai-ramai, tapi jadi tak ‘happening’ bila ada pula yang memonteng berkawal. Jadi selepas meronda-ronda keliling kampung, kami melepak pula dikawasan taman perumahan baru di belakang perumahan keluarga penulis. Jepri, Ucu Rab, Jo’a, Yan Kambeng, Abang anak Makadi, Pan, Y, Ajan, penulis dan beberapa orang lagi berlonggok depan pondok pengawal. Berborak cerita hantu. Begini cerita-ceritanya;
1-Yan Kambeng bercerita suatu malam bapanya balik kerja. Orang tua ini memandu Toyota Corolla jenis wagon. Kami di kampung panggil kereta pasar malam. Setelah di parkir kereta, orang tua tersebut berlalu ke dapur.
Yan Kambeng waktu itu melayan ‘game tape’ Contra di ruang tamu. Plup. Gelap kemudian. Takde karen(current) kata orang Pontian.
Disebabkan gelap, Yan Kambeng keluar rumah menghisap rokok. Ditujunya kerusi di depan rumah.Tiba-tiba matanya menangkap sesuatu. Lampu kereta bapanya menyala. Yan Kambeng pun masuk ke dalam meminta kunci kereta daripada bapanya. Orang tua tersebut tengah mandi. Diseluk oleh si Yan tadi kunci kereta bapanya lalu keluar rumah.
Dibuka pintu kereta dan dimatikan lampu.
‘Haiyaaaa!!!!’
Terperanjat Yan Kambeng mendengar tiba-tiba jeritan ‘Haiyaaa!!!!’ itu tadi. Dilihat tiada sesiapa dalam kereta. Seriau kemudian, Yan Kambeng terus mengunci kereta.
Plup.Elektrik kembali semula.
Bapanya yang baru selesai mandi keluar ke ruang tamu. Yan Kambeng terus memberitahu apa yang didengarinya tadi dalam kereta. Bapanya selamba aja berkata
‘Sebelum balik rumah tadi, Abah tumpangkan Cina ‘eksiden’ ke hospital. Meninggal dekat-dekat nak sampai (hos)spital tadi. Agaknya roh dia mengikut la tu.’
2. Ajan pula bercerita selepas Yan Kambeng menghabiskan ceritanya.. Penulis menampar nyamuk yang hinggap di badan. Pukk.
‘Satu malam tu aku balik rumah. Nak masuk lorong rumah aku tu kan gelap. Lorong Tok Bidan tu. Korang kalau lalu situ kan mesti ada nampak pokok besar tengah-tengah rumah aku dengan rumah sewa Abang Palang sebelah tu’.
Ajan berhenti sekejap bercerita meminta sedikit rokok daripada teman sebayanya,Abang anak Makadi .
‘Waktu aku turun dari(pada) motor , aku nampak macam perempuan tua kat bawah pokok tu’.
Ajan suka bercerita terhenti-henti. Kedengaran salakan anjin dibelakang taman baru ini, tapi memandangkan kami ramai jadi teruslah si Ajan menyambung cerita.
‘Aku tau dah. Mesti bukan orang. Jadi aku terus masuk rumah. Esok pagi Mak aku kata emak Abang Palang meninggal malam tadi. Aku pernah nampak berapa kali je emak Abang tu masa dia baru duduk situ. Pelikla kalau korang tengok muka mak dia. Bukan pelik macam ‘Alien’, pelik macam ada benda je kat Mak dia tu’.Selesai Ajan bercerita.
3.Jepri pula bercerita kali ini. Beliau ketua Rela bahagian barat dalam kampung kami. Beliau juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di taman baru tersebut. Ada 5 unit rumah murah mengadap tebing sungai dibelakang taman perumahan penulis.
Di salah satu unit tersebut, pada suatu malam sedang berkawal Jepri terasa ada seseorang sedang memerhatikannya dari dalam rumah. Dan takat itu saja beliau bercerita tambahan pula 5 unit rumah murah itu cuma dibelakang kami saja. (Beberapa hari kemudian penulis diberitahu Jepri demam panas atas kejadian pada malam kejadian itu, patutlah tak mahu cerita panjang…..)
4.Abang anak Makadi kerani sekolah tiba-tiba mencuit Jo’a disebelahnya. Bertanya samada teringat tidak tentang hal malam tadi? (semalamnya). Jo’a mengangguk. Abang anak Makadi pun bercerita;
‘Semalam, aku, Ucu Rab, Jo dengan Pan lepak sini( taman perumahan baru). Tengah berbual dengar pulak bunyi benda jatuh. Aku tengok la kat tempat bunyi tu.’
Dipintas Jo’a ‘Elehhh.. bila semalam aku tanya kau nampak apa? Kau terus tak mahu cakap (takut). Hahahaha’ gelak Jo’a disambut gelakan kami semua.
5.Penulis terus teringat cerita-cerita misteri yang terjadi di kawasan taman penulis. Antaranya seorang penghuni taman yang kami panggil Pendek telah beberapa kali berkongsi cerita hantu.
Suatu senja Pendek keluar bermain bola, dilihatnya disatu kawasan belukar seluas 3 kali gelanggang badminton, seorang lelaki berkopiah terbongkok-bongkok membakar sampah disitu. Pendek tahu itu bukan orang, terus dipecut skuternya keluar taman.Kansel main bola, pergi lepak Bandar.
Ada sekali Pendek mengikut seorang jirannya disertai ayah si Pendek berkereta menuju ke Batu Pahat. Ke rumah sewa anak si jiran tadi. FYI anak si jiran ini tak diketahui sebabnya telah diganggu sesuatu.
Paling malang sekali anak jiran ini berubah benar kelakunya 100% setelah diganggu. Dia menjadi pendiam, mulut herot sebelah, badan menjadi obes tiba-tiba dan bercakap seorang diri.
Sampai di Batu Pahat,mereka bertiga jejak ke rumah sewa si anak jiran tadi. Pendek pun masuklah ke dalam rumah sewa itu. Gelap gelita. Bilik si anak jiran tadi di hujung rumah.
Di pendekkan cerita berjayalah mereka membawa pulang si anak jiran tadi.
Masalahnya sepanjang perjalanan pulang. Kereta mereka ditemani Pontianak, yang terbang sekejap ke sebelah kiri, sekejap ke sebelah kanan. Pendek melihat dengan ekor mata saja, tak berani berbuat apa-apa.
6. Pan pula bercerita. Suatu malam dia keluar melepak di depan taman. Kawasan kegemaran melepak kami (penghuni taman dan budak-budak kampung lain) waktu itu ialah disebelah rumah rumah TNB.
Pan keluar jam 8 lebih kurang. Didapati masih belum ada sesiapa melepak disitu lagi. Maka duduklah dia sambil menghisap rokok.
Panggg!!!!
Kedengaran bunyi sesuatu jatuh diatas rumah bumbung TNB. Pan fikir biasa-biasa aja.
Panggg!!!!
Bunyi lagi. Pan terus balik ke rumah. Hahahaha. Kami semua tergelak lagi selesai Pan bercerita.
7. Sebagaimana diberitahu di atas tadi, ada sungai dibelakang taman penulis. Sungai ini tidaklah dalam. Airnya tohor berlumpur. Dikawasan muara menuju ke laut menjadi kegemaran budak-budak berendam. Dulu pernah ada orang ternampak seekor buaya berekor pendek dalam sungai. Tapi dasar budak kampung, tetap berendam juga. Orang kata mungkin jelmaan jin si buaya ekor pendek itu.
8.Ucu Rab tiba-tiba bercerita kenangan masa budak-budaknya. Umur Ucu Rab ini peringkat hujung-hujung umur belia namun berjiwa rockers. Beliau bercerita hantu kum-kum. Seorang makciknya pernah diganggu hantu kum kum sampai masuk (hos)spital. Jepri menyampuk bertanya samada kami mengingati kisah perempuan purdah yang keluar mencari 40 orang anak gadis? Kami mengiyakan saja.
Penulis teringat dikatakan perempuan ini menaiki kereta kancil merah. Jadi setiap masa nampak kereta kancil merah, maka penulis mesti nak tengok siapa dalam kereta. Paling lawak dikatakan orang perempuan purdah ditangkap di Muar. Apa yang lawak?pasal lepas tu keluar cerita dalam Metro perempuan purdah pusing satu semenanjung.
Di Pontian pula dulu-dulu, dalam hujung 70 an kecoh dengan cerita perempuan misteri makan katak. Kira bukan oranglah tu. Kawasannya ialah di pokok besar menghadap perhentian bas Pontian yang lama di tepi laut.
9.Seorang kawan sekampung bercerita disebelah Lorong Tok Bidan, Pontianak muncul mengganggu orang balik lewat malam. Baru saja terjadi beberapa bulan lepas. Kami mengangguk kerana dulu pernah ada seorang penghuni kampung yang mental otaknya mengejar Pontianak dengan parang. Dikejar hingga ke jeti dibelakang lorong rumah Pak Noh Tikus di muara sungai.
Tak lah dikatakan Pontianak yang dikejar si mental itu adalah sama dengan Pontianak yang disebelah Lorong Tok Bidan itu. Mungkin lah, mungkin….
Kedengaran lagi salakan anjing dibelakang taman perumahan baru. Kami terus sambung bercerita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan