‘Teh O panas satu Banggg’ laung Andak pada Mat ‘Tupperware’. Sambil-sambil membelek Kosmo sambil kedengaran suara pengunjung kedai berkaraoke. Lagu Kalau Dah Gila Judi oleh Datuk M.Daud Kilau. Adalah dalam 6 ke 7 pelanggan malam itu.
Jam menghampiri 12 tengah malam. Suasana sejuk ke sum sum tulang selepas teduh hujan. Kedai ini menyediakan set karaoke. Satu lagu 50 sen. CD cetak rompak. Lagu pelbagai.
‘Wehh, tukar orang lain pulak la nyanyi tu oi’ marah Pak Long. Lantas mikrofon diambil alih seorang gadis baru habis sekolah. Berkumandang pula lagu Secangkir Madu Merah.
‘Kau dari mana Andak oi?’ Tanya Mat tauke Kedai Singgah-singgah La pada Andak yang sibuk menonton TV hansetnya.
‘Dari Kota(Tinggi) Bang, ni kejap lagi nak pegi (Lok Heng) Timur kejap.’ balas Andak sebelum menghirup teh o nya.
Kedengaran pula Di Penjara Janji oleh Awie. Kedai ini terletak disimpang memasuki Gugusan Felda. Agak tersorok sedikit. Namun popular dikalangan penduduk untuk melepak malam-malam.
‘Wehh, nyanyi lagu-lagu 60 an pulak la’ marah lagi Pak Long. Kedengaran kemudian Di tepi Pantai versi Metal dinyanyikan. ‘Wehhh bukan jenis ni’ marah lagi lah Pak Long tu kemudian.
‘Laaa…biarlah bebudak tu nyanyi apa pun. Diorang bayar. Kamu tu asyik mengarah orang menyanyi aje. Hahh. Pegi la nyanyi sendiri’ marah Mat ‘Tupperware pada Pak Long.
Kemudian kedengaran pula lagu-lagu lain dinyanyikan. Pak Long senyap terus.
Hiiii Hiiii Hiiii. Mula kedengaran perlahan.
Andak menoleh keluar kedai. Melihat-lihat belukar berhampiran ladang sawit. Gelap. Mat ‘Tupperware’ perlahan-lahan mengacau air, memasang telinga. Suasana masih bising dengan lagu karaoke.
Hiii Hiii Hiiii. Kedengaran lagi.
Lagu Bunga-bunga Cinta oleh Misha Omar memenuhi ruang kedai. Pak Long berganjak sedikit kedalam kedai. Andak menggulung Kosmo dalam tangan.
Hiii Hiii Hiii.
Mat ‘Tupperware’ berlari merampas mikrofon. Di tutupnya TV dan set karaoke.
Hiiii Hiiii Hiiii Hiiiii Hiiiii Hiiiiii. Semua orang terdengar. Bunyi kedengaran di dalam ladang sawit yang gelap. Hilaian Pontianak.
Malam itu kedai Singgah-singgah La ditutup awal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan