Suatu petang At berjalan pulang selepas bermain-main dengan teman-temannya. Suasana kampung pada tahun 60 an di Kedah, sawah padi ditolak angin-angin lembut, burung berkicau-kicau. Kerbau menggeleng-geleng kepala digigit tungau. At cuma rasa pelik. Petang itu langsung tiada angin berhembus dan kicau burung.
Warna-warna kuning petang menghampiri senja melatari perjalanan At pulang.Di lalunya jalan sebelah kiri bendang, sebelah kanan tali air. Lorong jalan cuma muat 2 orang jalan ini terus menuju ke rumahnya. Kejauhan dapat dilihat bumbung rumahnya, sesuai dengan stail rumah-rumah orang Utara yang tinggi-tinggi.
‘At!’ jerit satu suara. Ditoleh ke belakang, rupa pakciknya-Cik Mat yang memanggil. ‘Mai sini sat’ laung Cik Mat tersenyum. Adik pada ayah At ini memang kuat bergurau orangnya. Tengok muka beliau pun kita dah tertahan-tahan senyum.
Dilambai-lambai tangannya meminta At datang ke arahnya.
‘Pa dia Pak Cik Mat?’ balas At sambil berjalan ke arah Pak menakannya itu. Cik Mat masih melambai-lambai lagi. At menoleh ke arah sawah padi sambil mengomel kecil. Ditoleh semula ke arah Cik Mat, sudah tiada lagi ditempatnya.
Hairan hatinya membawa At ke tempat Cik Mat berdiri tadi, memang tiada bapa saudaranya itu. Kalau nak dikata bersembunyi, takkan bersembunyi dalam bendang, nak dikata lari ke arah lain, perlu melompat tali air.
Malam itu Cik Mat datang ke rumah berborak dengan Abangnya, ayah At. Bila ditanya oleh At, Cik Mat menjawab petang tadi dia ke Alor Setar dan waktu pulang terus ke rumah Abangnya ini.
Sekadar menggeleng saja At kerana diusik makhluk halus siang nya tadi.
p/s-At adalah ayah penulis. Cik Mat sudah meninggal dunia tahun lepas kerana strok. Al Fatihah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan