Isnin, 31 Oktober 2011

Kerbau dan lembu

Penulis pernah terbaca sedikit masa dahulu yang antara langit-langit wujud alam makhlus halus yang dihuni makhluk berupa kepala kerbau dan lembu berbadan manusia manakala golongan pemerintah berupa seperti manusia. Entahlah.

Kemudian penulis terbaca cerita dibawah ini di internet, diubah suai bagi menjaga sensitiviti-

Piaw seorang artis wanita yang terkenal di Hong Kong pada tahun 80 an dahulu. Atas sebab yang tidak diketahui Piaw membunuh diri.

Setelah kematiannya seorang rakan baiknya merangkap rakan sekelas tarian dan nyanyian beliau telah bermimpi bertemu Piaw. Mendiang mengadu tentang rumah barunya di neraka yang sangat tidak disukainya. Rumah itu bergelap dan lembap.

Selain itu ada juga makhluk berkepala lembu dan kerbau dan berbadan manusia yang dilihat Piaw di neraka(mengikut kepercayaan agama mereka).

Setelah mengetahui daripada rakan baik Piaw itu, ibu mendiang telah mengadakan upacara agama bagi menenangkan Piaw (mengikut kepercayaan agama mereka).

Beberapa hari setelah kematian Piaw, seorang saudara terdekat mendiang telah menemui sebuah gelang diatas meja ruang tamunya. Gelang itu milik Piaw dan dipakai sewaktu membunuh diri. Kepercayaan orang Cina ialah roh akan merayau rayau sebelum menemui jalan ke alam baka.

p/s-Penulis menulis tidaklah berniat mengagungkan agama lain kerana agama penulis, Islam, sudah mencukupi buat penulis. Wallahualam.

#106-Bas Indonesia

Disini dicatatkan sebuah cerita yang pernah saya terbaca daripada sebuah buku seram yang sangat popular pada tahun 90 an. Sedikit diubahsuai kerana saya tidak menggemari 'lawsuit'.

Tidak silap ingatan penulis, cerita ini berlatarbelakang di Indonesia samada penghujung 60 an atau awal 70 an.

Waktu itu pengangkutan awam yang bisa masuk ke kawasan-kawasan ulu pedalaman sangat-sangat diperlukan demi pembangunan nusa Indonesia.

Kalau kita di Malaysia, bas-bas selain ekspres (perjalanan jauh) pergi pagi dan balik paling lewat jam 10 malam. Di Indonesia yang kita tahu tanahnya luas dan besar, adakala pagi hari ini pergi esok malam baru pulang semata-mata mejelajahi cuma satu daerah saja. Atau begitulah mengikut pemahaman penulis.

Suatu masa, sebuah bas yang dipandu seorang pemandu bersama konduktornya melalui satu jalan tanah. Mereka telah beberapa jam bertolak pulang dengan bas yang cuma mereka berdua saja ada didalamnya. Itu pun masih jauh lagi perjalanannya. Mungkin paling lekas sampai pagi esok.

Pemandu yang kita panggil Mamak Bentaro dan konduktornya-Agus.

Perjalanan mereka mulanya tenang-tenang saja. Kegelapan malam mulai meringkuk. Senja membawa hampir ke jam sepuluh malam. Jalan tanah yang gelap gelita saja dilalui bas mereka.

Untung dibawa radio kecil sekali si Agusnya. Bisa mendengar lagu dangdut. Rhoma Irama memang asyik lor.

"Bagaimana kalau kita tidur saja dijalanan?" duga Mamak Bentaro pada Agus.

"Kenapa sih? Lain kalau basnya rusak. Itu pun belum pasti saya mahu tidur dijalanan. Baik saya tidur didalam ini aja" unjuk Agus yang muda lagi, lingkungan dua puluhan berbanding Mamak Bentaro yang telah lebih pertengahan 40 an.

"Haha. Iya iya" ketawa saja Mamak Bentaro. Bas dipandu memasuki kawasan berhampiran hutan rimba banat. Pokok-pokoknya aja besar-besar. Itu belum tahu lagi apa yang inap didalam. Selisih aja.

"Apa Bapak mahu tidur dijalanan kalau-kalau benaran bas kita ini ngak bisa jalan?" tanya Agus yang mula ragu-ragu.

"Iyalah. Tutup mata aja. Cakap kamu tadi benar aja, mana bisa mahu tidur dijalanan. Diatas jalan itu. Sakit-sakitan kok paginya nanti. Baik lagi tidur didalam bas ini. Nyaman aja. Kok begitu kan enakkkkk." jawab Mamak Bentaro tersenyum.

"Waduh. Jangan rosak basnya. Kita ini berdua aja." luah Agus.

"Benar. Tapi kamu jangan lupa Allah SWT itu sentiasa ada dekat dengan kita.Pegang saja pada itu sih kamu Agus. Insya Allah baik baik aja." ujar Mamak Bentaro.

"Iya. Iya. Subhanallah." angguk Agus.

Perjalanan diteruskan. Jam mulai menghampiri tengah malam. Bulan mengambang penuh.

Cahaya lampu bas menyuluh jalan gelap. Kedengaran juga penghuni rimba banat berbunyi. Cuma ngak ketahuan apa jenis mergastua itu. Biarkan.

Tiba-tiba bergegar berbunyi sesuatu.

Pummm!!

Agus mula mengeluh perlahan. Mamak Bentaro mengawal stering bas dipandu. Mujur selamat.

"Aduh Pak. Bagaimana pada saat-saat begini bas ini bisa menyusahkan kita?Ahh!!!" kesal Agus.

"Sabar nak Agus. Kamu pergi periksa dibawah. Nanti Bapak berhentikan bas ini ditepi" sambil Mamak Bentaro menolak stering bas ke bahu jalan.

"Saya?Kok saya? Takut sihh.Bapak ikut sama saya lihat bisa kan?" bantah Agus sedikit.

"Kamu ini bagaimana sih? Ngak perlu takut apa-apa. Yang perlu ditakuti dan ditaati itu Allah SWT.Nah. Bas sudah berhenti. Pergi turun. Periksa bunyi tadi. Rasanya tayar kempis tuh.Kamu periksa kalau benar kempis panggil Bapak. Kita tukar tayarnya" arah Mamak Bentaro.

"Pak!Pak!Itu apa Pak?" tiba-tiba Agus menunjuk didepan bas.

Mamak Bentaro menoleh.

3 lelaki Cina pertengahan baya berada didepan bas. Berpakaian kusut masai siap kotoran tanah pada pakaian mereka. Seorang yang ditengah-tengah membawa beg galas.

"Siapa Pak?Siapa mereka?Kok tiba-tiba aja ada.." perlahan ditutur Agus.

Mamak Bentaro diam memerhatikan saja.

"Jangan buka pintu dan tingkap bas ini. Kita tidur aja didalam. Esok kita periksa apa rosaknya bas ini. Yang diluar itu manusia kok. Sama seperti kita. Kamu pergi tidur sekarang. Sekarang!" keras sedikit suara Mamak Bentaro.

Agus kebingungan sedikit tapi mengikut saja kata Mamak Bentaro yang dianggap seperti bapanya sendiri itu.

Mamak Bentaro melipat songkok hitamnya. Dibuka baju kemejanya digantung pada kerusi bas. Sekarang cuma berbaju pagoda saja. Terus aja berbaring di kerusi penumpang belakang tempat pemandu. Agus sudah menutup radionya semenjak bunyi misteri tadi kedengaran. Bunyi Pummm!! itu tadi lah. Masa udah lupa? dan Agus mengambil tempat dibelakang kerusi penumpang Mamak Bentaro berbaring.

Ktuk ktuk

Agus tersentap. Mamak Bentaro tergerak sedikit. Seorang daripada lelaki tua Cina itu tadi mengetuk pintu bas.

"Esok bas ini akan dibawa pulang ke daerah kami. Tidak malam ini kami sudah henti rehat.Tidak bisa terima penumpang." kata Mamak Bentaro pada Cina tadi. Terkebil kebil Cina itu melihat daripada luar kaca pintu bas.

Ktukk Ktukk

"Agus. Biar saja. Kita tidur aja." malas Mamak Bentaro melayan Cina tua itu.

Ktukk ktukk

"Pak. Mungkin dia kesejukkan diluar kok?" bisik Agus.

Berdehem Mamak Bentaro mengarahkan Agus diam.

Ktukk ktukk
Ktukk ktukk
Ktukk ktukk

Mungkin kebosanan tidak dilayan, Cina tua tadi menyertai kawan-kawannya yang didepan bas tadi.

Duduk berlonggok dalam bulatan. Yang membawa beg galas tadi kelihatan menyeluk sesuatu.

Cahaya bulan menerangi kawasan sekitar mereka.

"Pak. Kelihatannya mereka sedang enak makan. Perut saya pun udah lapar ini." bisik Agus.

"Kamu ini bagaimana sih?Benar kamu udah lapar?" tanya Mamak Bentaro yang terkebil-kebil memandang siling bas.

"Lapar juga nih. Bapak?" tanya Agus memberi harapan.

"Kamu ini agaknya mata ngak bisa melihat dengan baik. Muda-muda udah matanya begitu. Cuba kamu lihat apa dimakan mereka" balas Mamak Bentaro.

Agus memandang ke depan bas.

"Kepala babi Pak. Mereka makan kepala babi Pak. Mentah mentah dimakan." Agus berketar ketar.

"Kamu duduk didalam bas. Jangan keluar" bangun Mamak Bentaro.

Diam Agus terketar-ketar.

Mamak Bentaro membuka pintu bas dan menutup dengan pantas.

Dibaca basmallah. Berdiri didepan bas.

"Kamu ini lah puncanya membuat bas kami rusak!" tinggi sedikit suara Mamak Bentaro pada 3 lelaki Cina tua tadi yang masih enak-enak makan.

Seorang daripada Cina tua tadi berpaling dan membaling sesuatu pada Mamak Bentaro. Tulang babi.

Mamak Bentaro sedikit marah.

"Kurang ajar, syaitan!!" balas Mamak Bentaro. Dibaca ayat Kursi dan diulang ulang pada ayat terakhir.

Ketiga-tiga lelaki Cina tua tadi bangun berdiri.

Dengan bantuan cahaya bulan, mulut dan pakaian mereka penuh dengan kesan darah babi dimakan mereka tadi.

Tersengih.

Mamak Bentaro masih mengulang-ulang baca ayat Kursi.

/////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////////

"Kamu ini bagaimana bisa terkencing dalam bas?Bangun Agus. Bangun." marah Mamak Bentaro.

Agus terpinga-pinga. Hari sudah siang. Keliling mereka berdua yang didalam bas ialah pokok-pokok hutan besar-besar ditepi jalan laluan bas.

"Bapak, kita dimana sih?" tanya Agus.

"Dimana lagi? Di bumi lah. Bangun dan tukar pakaian. Masih anak-anak lagi kamu ini." arah Mamak Bentaro.

"Tidak, maksud saya malam tadi kan..." belum sempat habis dipotong Mamak Bentaro.

"Udahlah. Yang penting kita selamat. Tayar pancit semalam udah Bapak ganti. Lekas kita bersiap pulang." bangkit Mamak Bentaro keluar bas.

Agus terkebil-kebil.

"Yang penting kita selamat. Ilmu syaitan itu terbatas. Ilmu Allah itu tiada sempadan" tenung Mamak Bentaro pada Agus yang masih kebingungan.

Perjalanan diteruskan.

#105-Khutub khanah B1

Perpustakaan. Semua pelajar pasti mengenali dan sangat bertuah jika pernah, walaupun sekali, memasuki perpustakaan dan meluangkan masa membaca. Ribuan hingga ratusan ribu buku bergantung pada institusi dan pelbagai kumpulan ilmu disediakan dan percuma untuk dicapai serta dipinjamkan dengan syarat.

Suasana perpustakaan yang sunyi. Disana sini penuh dengan rak buku. Setiap koleksi ditanda dengan baik untuk tujuan rekod dan memudahkan carian. Seronok juga jika sekadar bersenam mengelilingi rak-rak dan turun naik tangga setiap petang selepas kuliah.

Di Universiti Super Malaysia dulu ada 2 perpustakaan, Sendut 1 dan Sendut 2. Kegemaran penulis ialah Sendut 1 tapi buku subjek kursus penulis di Sendut 2. Penyelesaian?Penulis pergi makan diluar.

Pada penulis indikasi sebuah perpustakaan yang baik tidak saja terletak pada cukupnya buku yang diperlukan, kakitangan yang berfungsi terutama pemikirannya, kemudahan pencarian, tempoh pinjaman yang mencukupi tetapi juga memerlukan penghawa dingin yang berfungsi disemua ruang. Serius.

Kuek Kyip Kwat, seorang pelajar Sains Kemasyarakatan (SK). Klise pelajar Cina terutama yang nerd+skema ialah mengulangi bilik-kuliah-perpustakaan hingga penghuni asrama yang sama-sama menyewa lebih banyak melihat pintu bilik beliau berbanding beliau sendiri.

Pelajar Melayu juga ramai mengunjungi perpustakaan dan cepat keluar perpustakaan.

Kerana pelajar Melayu telah bersiap sedia dengan tajuk buku yang diperlukan-cari buku-buat pinjaman buku-pergi main bola-malam baca buku-main futsal-baca buku.

Kuek Kwat ini tadi seorang pelajar yang pendiam. Sesama Cina pun tidak dicampuri beliau sangat. Kecuali waktu malam perayaan bangsa mereka. Satu universiti turun. Ada 1 perayaan membawa tanglung mengelilingi universiti pada setiap tahun.

Penulis lihat mereka sangat bersemangat. Mungkin terkenang-kenang cerita di Beijing 3000 tahun dahulu?Penulis tak faham bahasa Cina.

Pagi yang indah suatu hari. Kuek Kwat memasuki perpustakaan. Seingat penulis hari itu hujung minggu. Perpustakaan tutup sedikit awal. Lupa waktu tepatnya.

Kuek Kwat ini biasanya suka bersendirian disatu ruangan ditingkat 3.

Koleksi buku disitu lebih pada 'pure science' yang majoritinya sesuai dengan pelajar yang tidak mementingkan pengkelasan ilmu samada bertaraf tinggi, terlalu tinggi, terlalu sukar difahami setiap huruf, atau memerlukan formulasi kiraan untuk mampu membelek muka surat seterusnya:- KUMPULAN BUKU KHAS.

Yang Penulis tahu kalau mahu meminjam buku begitu perlu ada prosedur itu ini. Sebab itu suratkhabar lebih senang dibaca jika anda baru berjinak-jinak memasuki perpustakaan universiti. Sekurang-kurangnya itu pengalaman penulis. Penulis baca CBT daripada NST.

Kuek Kwat mengambil tempatnya disatu sudut. Sebuah meja yang muat 4 orang. Sekarang itu meja rasmi beliau dan beliau mahu semua orang mematuhinya tanpa soal.

Meja itu setahu penulis sudah daripada tahun 80an dulu lagi sudah ada disitu berpandukan tanda nombor di tepi meja. Tepuk dahi kejap penulis.

Suasana sejuk berhawa dingin. Kuek Kwat memang selalu memakai sweater maka kesejukkan bukan perkara ekstra terestial. Pelajar lain juga begitu.

"Hi?"

Satu suara lembut menegur. Seorang gadis Cina.

"Hi" balas Kuek Kwat sedikit gugup. Menyangkakan gadis tadi mahu berkongsi tempat pilihan beliau.

"Selalu nampak sini. Kursus apa?" tanya gadis tadi setelah dialih bahasa. Berkaca mata berambut pendek berbaju kuning cair tiada kolar berlengan pendek berseluar jeans berkasut sukan putih.

"SK. Lu apa kursus?Selalu nampak wa sini sebab wa rajin mahu study (tak ada life)" jawab Kuek Kwat juga telah dialih bahasa.


Mereka berdua mula berbual bual. Ketawa sedikit sedikit. Nama gadis tadi Loh.

Kuek Kwat tersenyum bangga dalam hati bila gadis secantik Loh mahu berbual dengan beliau.

Jam hampir ke 9 pagi. Hanya mereka berdua saja ditingkat 3 itu. Kakitangan perpustakaan juga tidak nampak kelibat. Mungkin sibuk urusan diluar universiti.

"Lu selalu nampak wa sini tadi lu cakap kan? Apa lu selalu sorok-sorok tengok wa ka?Aiyaaa" lawak Kuek Kwat.

Loh tersenyum nipis.

"Lu ada lelaki suka lu ka?" gatal Kuek Kwat.

Loh semakin tawar senyumnya.

"Lu manyak cantik la. Tidak pernah ada perempuan secantik lu wa pernah jumpa" tambah Kuek Kwat. Amatur. Sangat mentah teknik beliau.

"Lu punya muka serupa itu Hong Kong penyanyi itu maa" lawak Kuek Kwat lagi.

"Lu habis cakap?" tanya Loh. Dingin tiba-tiba.

"Apa pasat?" Kuek Kwat masih tidak menyedari apa-apa.

"Wa mahu pergi toilet" bangun Loh dan berlalu.

Kuek Kwat menunggu. Dilihat sebuah bekas plastik keras berisi barangan kepunyaan Loh diatas meja.

Menunggu 10 minit. Kuek Kwat membaca buku.

25 minit. Kuek Kwat mula berasa kelaparan. Sudah masa untuk menjenguk kafe disebelah Foyer Sendut 1.

40 minit. Kuek Kwat membuat keputusan turun saja ke kafe.

Naik semula ke perpustakaan dan jam sudah melebihi 10 pagi. Kuek Kwat lihat barang Loh masih diatas meja.

15 minit, okay 22 minit kemudian Kuek Kwat terasa mahu ke tandas.

Untuk ke tandas, pelajar perlu mencari pintu keluar ditengah-tengah aras, yang mana kawasan itu menempatkan tandas bagi setiap aras.

Dilihat beliau tandas wanita pada aras tingkat 3 ditutup. Kuek Kwat rasa hairan. Dilihatnya tadi Loh masuk ke pintu di aras tengah dan semestinya menggunakan tandas ditengah.

Kuek Kwat selesai urusan ditandas dan menuju ke meja beliau.

Dilihat barangan Loh sudah tiada. Sedikit sedih hati Kuek Kwat kerana tidak dapat memikat Loh lebih jauh lagi.




Bersambung

Jumaat, 28 Oktober 2011

Potret menangis



Foto sekeping potret yang tergantung didinding rumah kampung semenjak penulis kecil lagi. Dari tahun awal 90 an lagi. Sekali imbas tidaklah begitu menakutkan bagi orang lain.

Tidaklah penulis mengagungkan perasaan takut itu.

Cuma berkongsi cerita sedikit- dahulu setiap kali waktu tidur dikampung seperti waktu Hari Raya, cuti sekolah, kenduri dll, penulis paling tidak mahu terjadi ialah terjaga ditengah-tengah malam buta, diwaktu semua orang telah lelap dan hanya kegelapan saja mengisi isi rumah dan terpandang potret diatas.

p/s-satu lagi gambar yang mendatangkan kengerian sewaktu kecil dikampung dahulu ialah poster Iron Maiden- Fear of The Dark.

Khamis, 27 Oktober 2011

PLKN

Pada tahun pengenalan PLKN (2004), kemudahan kem yang disediakan memang berkonsep ketenteraan. Makan dalam khemah besar (sekarang dalam dewan), mahu pulang ke rumah perlu menunggu cuti panjang sedikit (adalah 3 hari, sekarang ada yang sampai seminggu) itu pun bukan semua boleh pulang ke rumah.

Yang rumah jauh di utara, pantai timur atau yang kurang mampu berkhemahlah dalam kem. Nak bersedih dan mengadu pada keluarga pun waktu itu telefon tangan adalah barang berjenama. Eksklusif.

Zaman sekarang pelajar PMR pun ada Blackberry, tiada nilai eksklusitiviti itu lagi.

Setiap malam kami para pelatih yang digelar Wirawan (Wirawati untuk perempuan) berdepan dengan maut kerana khemah kain yang disediakan dipasang dibawah pokok besar 1 setengah pemeluk.

Sekarang fasiliti yang disediakan bertaraf selesa, jika tidak selesa tiada siapa lagi yang merosakkan kemudahan tersebut selain pelatih sendiri. Hantu? Mereka tidak terlibat dengan vandalisme kerana tahu peranan mereka telah diambil alih dan jauh lebih efisyen impak kerosakkan.

Penulis pernah terdengar sebuah universiti kerugian RM1 juta angkara vandalisme waktu pelatih ditempatkan di universiti (sekarang semua aktiviti dalam kem, dahulu 1 bulan lebih di kem, dan 1 bulan lebih di universiti awam).

Di kem (di Asahan, Jasin, Melaka) penulis dulu banyak terdengar kisah-kisah seram dan ada yang pernah penulis catatkan dalam penulisan berkaitan PLKN juga sebelum ini, jadi yang akan dikongsi bersama kali ini adalah cerita-cerita selain daripada penulisan terdahulu-

1-Ada satu masa kami menjalani aktiviti 'water confident' di tasik berhampiran kem. Kami perlu berjalan atau adakalanya menaiki bas ke kawasan tasik yang cuma dalam kurang 500 meter.

Kawasan tasik ini agak luas dan setiap kali dijalankan aktiviti disini, kami diberi ingatan agar tidak membaling batu-batu kecil ke mana-mana arah terutama dikawasan hutan kecil sebelah tasik.

Setelah dikorek-korek cerita, rupanya ada kes kecederaan anak makhluk halus patah tulang tulang mereka angkara pelatih membaling-baling batu ke kawasan mereka.

Ada seorang jurulatih sambil berkias-kias mengatakan ada sebuah rumah yang tidak kelihatan berhampiran tasik. Wallahualam.

2-Waktu malam selepas waktu tidur, jarang ada pelatih yang berani ke tandas berseorangan. Binaan tandas ini seluas rumah teres dan dibahagi-bahagi kepada setiap kumpulan, contoh ada kumpulan Alpha, Beta, Charlie, dan Delta makanya setiap kumpulan ada tandas masing-masing. Setiap kumpulan pula dipecahkan kepada 2 kumpulan- Charlie I dan Charlie II contohnya.

Seingat penulis tiadalah kejadian pelik yang menakutkan berlaku ditandas, cuma entah apa sebabnya tidak ramai yang betul-betul berani ke tandas berseorangan selepas tengah malam.

Nak kata kalau berpuaka seperti tandas asrama-asrama sekolah, kem itu pada waktu itu baru saja beberapa bulan siap (tanun 2004).

Tapi kalau anda masuk ke kawasan tandas sebesar begitu dengan satu kolam tadahan air pada malam sunyi, sedikit sebanyak apa gambaran atau perasaan anda? Atau apa kata anda jika saya katakan pernah disuatu masa dekat-dekat senja, seorang pelatih wanita disampuk sesuatu hingga masuk ke tandas lelaki?

3-Staff-staff(komando GGK) atau jurulatih yang melatih kami (bekas askar atau anggota JPA) yang kami panggil cikgu banyak berkongsi pengalaman dengan kami.

Seorang cikgu yang penulis terlupa namanya berkongsi cerita yang askar biasa yang melalui kursus asas komando akan mengalami tekanan yang terlalu hebat hingga jika tersilap ditegur waktu keletihan yang teramat sangat, kita yang menegur perlu berhati-hati.

Ada juga staff komando yang mengatakan waktu dalam latihan mereka, tidaklah menjadi kehairanan jika mereka lebih selesa tidur dijirat Cina berbanding kawasan yang sewajarnya. Kerana keselesaan tanah tambak diselimut rumput padang golf seolah-olah berbaring ditilam lembut setelah kepenatan.

Paling dielak sekali ialah kubur penganut Hindu. Diakui sangat keras.

Jika teringat lagi dimasa kelak, Insya Allah penulis kongsikan lagi disini. Terima kasih sudi membaca.

Rabu, 26 Oktober 2011

Serigala segalanya

1-Penulis sangat berminat dengan serigala jadian. Cuma pada pendapat penulis, kebanyakkan cerita ditulis berkaitan serigala jadian ini terutama daripada penulis barat adalah membosankan dan diulang-ulang.

2-Jalan ceritanya bermula biasa dengan kehilangan haiwan ternakan, kanak-kanak, wanita dan lelaki yang berjalan dikawasan hutan atau tempat-tempat sunyi. Mangsa kemudian ditemui mati dengan kesan gigitan yang dalam, kehilangan anggota badan atau tidak ditemui langsung.


3-Seterusnya penduduk kampung terpaksa berjaga-jaga dan mula mengadakan rancangan memburu suspek-serigala jadian.

4-Akhirnya ditangkap seorang lelaki atau wanita yang mengaku diberikan tangkal berupa bulu serigala yang membolehkan pemakainya menjelma menjadi serigala jadian. Atau versi lain penggembala ternakan menembak serigala dan kemudian menemui lelaki atau perempuan yang cedera dengan kesan tembakan serupa.

5-Namun dalam penceritaan melalui medium filem, cerita-cerita yang dibentangkan agak menarik. Karekter serigala jadian yang ditampilkan juga sangat segar. Seperti dalam cerita Underworld/Van Helsing (walaupun plot cerita agak sebu)/The Howling/American Werewolf in Paris dan lain-lain. Kecuali Twilight yang serigalanya hanyalah seekor serigala bersaiz raksasa atau Wolfman yang ditampal bulu dan memakai gigi taring palsu saja.

6-Di Malaysia, penulis pernah terbaca cerita seorang (melalui internet) yang mengendap kawasan luar asrama beliau dan ternampak sesuatu berbentuk serigala jadian.

Wallahualam.

Selasa, 25 Oktober 2011

Subjek menakutkan bocah cilik

Satu kebiasaan dalam masyarakat Melayu ialah menggunakan ilmu psikologi pada peringkat awal kanak-kanak membesar. Dengan menggunakan rasa takut pada sesuatu yang tidak jelas, kanak-kanak diharap agar tidak menjadi nakal. Masalahnya pada masa yang sama kanak-kanak diajar perlu takut pada Tuhan saja sedang masa yang sama dikatakan Pontianak suka kanak-kanak nakal(!!).

Hal ini pernah mendapat bantahan dalam buku-buku akidah yang saya terbaca dahulu dan seperti biasa saya terlupa nama dan penulis buku itu. Ini sekadar hiburan ringan saja dan bagi yang mahu berfikir boleh saja mendapat pengajaran berguna, Insya Allah:

1-Hantu Momok-Pertama kali penulis diperkenalkan jenis hantu ini sewaktu dibawah jagaan seorang ahli keluarga. Dikatakan hantu Momok ini tinggal di antara siling dan bumbung rumah.

Penulis yang masih kecil membayangkan hantu Momok ini berupa perempuan tua dengan rambut putih kelabu kusut mengerbang dan berpakaian putih koyak rabak compang-camping.

Lebih parah lagi bila penulis membayangkan sambil menyimpulkan setiap rumah ada hantu Momok ini diatas siling rumah mereka (!!). Agak berkesan juga dalam mengurangkan kenakalan.

2-Pontianak-Paling terkenal antara semua hantu di Tanah Melayu. Sama juga befungsi menakutkan anak-anak agar tidak terlalu nakal, terutama pada waktu senja dan waktu tengah malam.






3-Brother Singh-Ini mungkin paling kelakar. Idea ini diketengahkan ahli keluarga yang sama yang memperkenalkan hantu Momok sebelum ini. Jika anda dari Pontian menuju ke Batu Pahat, di persimpangan trafik simpang 4 di Benut, berhampiran Balai Polis Benut, anda akan melihat tangki air.

Itulah rumah kediaman Brother Singh. Tambahan pula waktu itu ada terdengar seorang Benggali dengan sabit memburu kepala kanak-kanak. Namanya? Guermit Singh. Ok. Saya bergurau. Saya peminat besar PCK Pte Ltd.

4-Dijilat hantu- Hantu ini agak umum. Sekadar digelar hantu. Spesis khas tiada atau penulis gagal mengingat. Katakan anda dan dua lagi kawan; bertiga tidur dalam khemah atau diatas katil atau dimana-mana. Wujud tanggapan orang yang ditengah berpotensi dijilat hantu.

Sama juga dikatakan kepada orang lelaki yang tidur tidak berbaju, mungkin dijilat hantu.

5-Hantu Kopek-Peranan hantu ini diketahui ramai. Cuma penulis dapati nama hantu itu berasal daripada kawasan pantai timur Malaysia. Jika anda tahu maksud penulis. Mungkin tidak perlu hairan nama hantu tersebut memandangkan kita kaum bangsa yang sama.

Hantu ini dikatakan gemar menyorok kanak-kanak waktu tengahari buta. Paling terkenal waktu kanak-kanak bermain sembunyi-sembunyi.

Setelah kawan-kawan lain ditemui akan ada tertinggal seorang yang masih gagal dicari. Suspek?

#104

"Aku balik dulu la Mat Piah....angpa semua." kata At kepada teman-temannya yang sedang sibuk merembat bola.

"Sat la sat la. Kita balik sama la. Sat ja. No?" balas Mat Piah yang tidak lepas memandang bulatnya bola.

"Nak gelap dah ni, aku pi dulu." sanggah At dan berpaling ke belakang.

"Ya la ya la" keras suara Mat Piah sambil menendang bola kali terakhir, untuk petang itu.

"Ang pi kelas Quran malam ni?" tanya Mat Piah dengan kepalanya masih memerhati kawan-kawan lain ligan mengejar bola.

"Pi la, dah Pak aku yang ajaq kita semua."jawab At.

"Tak mau tuang la. Pak ang tau ang nak monteng mesti ang kena balun siap punya. Malu la kat Tini ang tu." balas At lagi dan tersenyum. Tini kawan perempuan mereka yang turut mengaji sama di rumah At.

Mat Piah mengangguk dan memandang keliling. Suasana kuning-kuning petang.

Jalannya mereka semakin laju meninggalkan padang bola.

Suasana indah negeri Kedah pada tahun 60an dengan label pengeluar beras Malaysia sehingga kini. Masih lagi boleh menangkap ikan puyu di bendang, kerbau-kerbau bongkak dengan burung-burung gembala kerbau dan ular pun banyak juga menyusur mencari katak. Harus berhati-hati lebih.

Mereka akan melalui 1 kawasan kebun, 1 padang nyiok(kelapa) dan melalui lorong panjang untuk pulang ke rumah mereka. Rumah keduanya saling mengadap satu sama lain.

"Tadi di sekolah Chegu Zahidah ajar pa dia , aku tak berapa dok nak faham la At.." luah Mat Piah buat bubuk bicara.

"Ang tak faham tang mana? Yang dia ajar 'present tense' 'past tense' tu ka?Atau yang dia "ajaq" first person, second person, third person tu ka?" tanya At melayan kawan baiknya itu.

"Eh dak. Yang tu kita semua tak faham kut? Haha." melawak Mat Piah.

"Haha" balas At tertawa.

Mereka melepasi kebun dan melalui tepi padang 'nyiok'.

Suasana hijau sawah padi sangat indah. Memang sedap waktu malamnya nanti duduk dianjung rumah atau dibawah rumah tinggi gaya Utara-menikmati bayu lembut.

"Eh tu Tok Derih dok bawah rumah tu dia tu.." juih Mat Piah menunjukkan arah isi katanya.

"Ha ah la. Awat ang nak pi minta makan kat dia ka ?" kata At melawak kasar sikit.

"Takda pa la" balas Mat Piah melengas.

"Tok!!!" laung Mat Piah. Tegur menegur sesama penduduk kampung. Yang muda menghormati yang tua.

"Hurrm.." dengus Tok Derih. Sedikit garau seperti tekak tersumbat lendir selesema.

"Dah la tu. Tok Derih tengah marah kut.Ang ni.." perlahan At menutur pada Mat Piah yang mahu menyambung lagi.

Mat Piah melambai-lambai saja.

Sampai mereka ke lorong panjang untuk ke rumah mereka.

Zuppppp!!

Mat Piah dan At berlari sederas mungkin. Muka ketakutan saja keduanya. Teringat sesuatu.


Tok Derih telah meninggal dunia 2 hari sebelumnya.


p/s-penulis berbinkan At.

#103-Mistik dan orang terkenal

Disini dicatatkan 2 kisah-

1-Seorang lelaki berbangsa Cina yang pada masa depan akan menjadi taikun sebuah kawasan kasino dan rekreasi pergunungan terkejut apabila isterinya memberitahu

"Emak Abang mukanya kurus-kurus sikit, kulit putih-putih, macam Dewi Belas Ihsan? Saya mimpi Emak malam tadi. Dia kata masakan saya tak sedap." kata si isteri.

Lelaki tadi, Gouhtong terpegun. Beliau sendiri sudah bertahun tidak menemui Emaknya kerana jarak kedudukan. Memang tepat wajah Emak beliau dengan apa yang dikatakan si isteri.

Beliau berasal daripada Tanah Besar China manakala isterinya memang sudah lama beranak pinak di Tanah Melayu.

Perkahwinan mereka dilangsungkan pada waktu seluruh kawasan Asia diancam kemaraan Jepun. Tahun 40an. Cuma 2 meja hidangan saja waktu majlis perkahwinan.

Pernyataan isterinya itu kemudian terjawab apabila tidak berapa lama kemudian, beliau mendapat khabar Emaknya meninggal dunia.

Gouhtong berpendapat itu adalah usaha si Emak tercinta menghubungi anak tersayang sebelum meninggal dunia.

Sebagai tanda kenang-kenangan, Gouhtong membesarkan gambar foto mendiang Emaknya dan digantung dipejabat dan bilik tidur.


2-Waktu pembinaan jalan menuju ke puncak gunung yang bakal menjadikan Gouhtong orang ke 204 billionair dunia, pelbagai perkara dihadapi. Termasuklah beberapa kejadian yang hampir meragut nyawanya sendiri.

Pada mulanya pihak JKR mengandaikan 15 tahun diperlukan untuk membina jalan ke puncak(pada masa ini tiada lagi jentera moden seperti sekarang. Waktu itu tenaga manusia digunakan secara besar-besaran).

Apabila kertas kerja Gouhtong diterima, beliau mencadangkan 6 tahun masa pembinaan. Kerajaan bersetuju dan menambah sekiranya Gouhtong dapat menyiapkan kerja dalam 3 tahun termasuk pembinaan sebuah stesen pemancar dipuncak,beliau akan diberi subsidi RM900,000. Gouhtong berbesar hati menerima cabaran itu.

Gouhtong seorang yang sangat ambisi dan serius dalam bekerja. Demi cita-citanya mewujudkan kawasan percutian pelancongan dipuncak gunung idaman, beliau sendiri menyertai pekerjanya pada setiap tahap. Tambah pula semua sumber perniagaannya telah dialirkan ke projek ini.

Waktu bersama-sama pekerja menebas dan meneroka jalan ke puncak, ada pekerja mendakwa terserempak harimau.

Suatu masa, Gouhtong dan pekerja-pekerjanya tidur dalam sebuah gua bagi menjimatkan masa. Waktu tidur itulah menjelma Chin Swee, dewa yang dipuja oleh masyarakat ditempat asal beliau di China dahulu.

Chin Swee berpesan agar diteruskan usaha memajukan kawasan pergunungan itu. Semangat Gouhtong semakin membara kemudian.

Jika anda ke kawasan pergunungan yang telah dibangunkan dan sangat terkenal itu sekarang, anda akan melihat Kuil Chin Swee yang dibangunkan Gouhtong sendiri dibawah kawasan tumpuan utama gunung tersebut.

Oh ya, Gouhtong berjaya dalam jangkamasa 3 tahun menyiapkan jalan ke puncak.


Diambil isinya daripada buku Cerita Saya(Gouhtong). Hakcipta terpelihara.

Jumaat, 21 Oktober 2011

#102

"Wann, esok aku balik rumah" kata Oud pada kawan sebiliknya Wann.

"Hah? Tiap minggu balik, tak 'boring' ke?Haha." tanya Wann bercampur sedikit gurauan.

"Balik kejap. Ayah aku baru telefon pagi tadi, nenek saudara aku meninggal." jelas Oud yang matanya tidak lekang memandang skrin laptop ASUS A43S beliau.

"Oh ok" balas Wann sambil membelek buku Pedagogi beliau.

Mereka berdua pelajar Post Grad dan menyewa bersebelahan universiti mereka. Kawan lama semenjak 2006 daripada universiti lama mereka di Penang dulu.

"Kalau kau takut ajak Pian teman tidur sini" cadang Oud yang tidak lepas-lepas memandang skrin laptop beliau. Membaca forum bbs.espguitars.

"Ahhh tak apa la.Takde apa la." tolak Wann sambil menaip quote-quote daripada buka Pedagogi tadi.




Malam esoknya.






Wann benar-benar berseorangan malam itu. 2 bilik sebelah penghuninya tidak tahu ke mana. Sebuah bilik lagi yang menempatkan 2 orang Kelantan dan seorang warga Johor juga tidak tahu kemana.

Sebuah bilik lagi yang disewa seorang pelajar berbangsa Cina kosong dan jarang-jarang dihuni.

Pian pula daripada siang tadi masih diperpustakaan. Oud dari petang tadi sudah bertolak pulang.

Wann mengadap laptopnya. Sekejap dibuka Utusan online, sekejap dibuka PDF, sekejap dilayan Facebook.

Terdengar tiba-tiba derap tapak kasut seseorang di koridor aras bilik sewaan beliau.

Tumm Tumm Tumm

Ketukan pada pintu. Bergegas Wann membukanya. Pengawal keselamatan.

"Assalamualaikum. Kereta plet J## 3### kat bawah tu siapa punya?" tanya pengawal.

"Waalaikumsalam. Oh tak tahu" balas Wann.

Komunikasi tergendala sebentar. Saling berbalas pandang.

"Siapa yang bawa kereta sini? Kawan-kawan awak ke atau ada kenal ke siapa yang dalam blok ni bawa kereta?" tanya pengawal mahukan jawapan tepat.

"Kawan lain ada la bawa, tapi yang plet Encik cakap tadi tu saya tak tahu. Kenapa Encik?" tanya Wann ingin tahu lebih lanjut. Boleh buat 'update' Facebook.

"Awak tengoklah dibawah tu" balas pengawal berlalu pergi. Mungkin terus mencari pemilik kereta plet J## 3###

Wann keluar ke bahagian tangga, dilihat kawasan letak kenderaan.

Elok molek saja. Balik semula Wann ke bilik. Masih terdengar derap tapak kasut pengawal tadi. Masih diaras bilik sewaan beliau.Mundar mandir.

Berdetup hati Wann bila terperasan. Sesuatu.


Pengawal keselamatan dilihat tadi tidak menyedari ada sesuatu mengikut beliau dibelakang.



Pocong

Khamis, 20 Oktober 2011

Filem Sundel Bolong


1-Suzanna Martha Frederika van Osch atau Suzanna adalah pelakon genre seram paling terkenal Nusantara. Kecantikkan dan kemanisan mendiang seiring dengan keupayaan mendiang melakonkan watak hantu Indonesia paling terkenal dan mungkin paling psiko sekali. Kita di Malaysia mengaitkan Sundel Bolong dengan Pontianak. Beza keduanya ialah Bolong berlubang dibelakang. Selain itu menampilkan kriteria yang hampir sama. Keduanya jelmaan Iblis syaitan.

2-Penulis pertama kali menonton Sundel Bolong dan francaisnya melalui filem Malam Satu Suro. Masih teringat kesedapan Mendiang Suzanna menyanyi sambil bermain piano; Malam ini sunyi sepi. Kau terlena dalam mimpi Kau tersenyum kedamaian Menikmati cinta kita....



3-Filem pertama Sundel Bolong memang sangat menyeramkan, manakala francais seterusnya lebih pada komedi seram, terutama dengan penampilan Allahyarham Bokir yang menjadi penyeri.

4-Terima kasih Bu Suzanna.

Selasa, 18 Oktober 2011

#101-Bawah ke atas pintu

Hazlan terjaga daripada tidurnya. Dalam bilik hostel beliau yang gelap, cuma cahaya daripada laptop beliau saja yang masih terang.

Baru teringat, sebelum tidur tadi beliau memuat turun filem 'Lake Placid'. Dilihat skrin peratusan 47%. Begitulah adat WIFI percuma.

Sakit perut punca beliau terjaga.

Cuba diingat lokasi rokoknya. Samada dalam almari, poket seluar atau entah dimana-mana dicampak selesai balik makan malam di luar tadi. Oh, dalam poket jaket si Rais Kulim, kawan sebilik beliau, rokok Gudang Garam beliau.

Mereka memang begitu. Rokok kau rokok aku. Yang penting jangan kedekut. Waktu susah bukan kekasih sendiri yang dapat tolong cepat, tapi kawan terdekat yang membantu dulu(M.Ezwan Khalid,2007). Betul?

Ambil sebatang sisip dimulut, tukar tuala ambil kunci pintu, buka pintu tutup pintu. Ke bilik air.

Melalui koridor yang panjang menuju ke hujung dimana terletaknya tandas dalam bilik air, Hazlan melihat bilik-bilik yang lain telah gelap. Biasalah, jam dah pukul 4 pagi.

Tandas pilihan beliau adalah paling hujung, tandas cangkung. Tidak begitu selesa tandas duduk. Ditolak pintu tandas, diraba bahagian dalam pam air, cari pemetik api.

Tissss. Hembus asap. Fuhhhhhhh. (bawah umur dilarang merokok)

Tunaikan keperluan.

Ditenung kiri, bosan ke kanan pula. Dibilang-bilang mozek dinding dan lantai. Dikibas-kibas nyamuk yang berterbangan.

Masih dalam proses.

Dipasang telinga kalau-kalau ada kawan lain yang masuk ke tandas bersama. Sunyi sahaja.

Menunggu nyahtinja habis.

BUMM

Tersentak Hazlan apabila pintu tandas diketuk sesuatu. Berdebar-debar.




BUMM berbunyi lagi.




BUMM

Darah mula tersirap naik ke tengkuk.






BUMM

Bunyi ketukan pintu bermula daripada bahagian bawah pintu, perlahan-lahan ke tengah pintu.




BUMM






BUMM






BUMM

Hazlan perlahan mendongak ke bahagian atas pintu tandas. Tiada sesiapa. Hati yang semakin kuat berdegup kencang.








Pukkk

Bahu beliau ditepuk sesuatu!

Tanpa berfikir apa-apa lagi, melompatlah beliau melepasi pintu tandas.

Lepas palang pintu tandas dengan sekali henjut. Tuala ditinggal, kunci ditinggal, dan belum sempat dicuci apa lagi pun.

Esok Hazlan dihantar pulang ke kampung. Demam.

Isnin, 17 Oktober 2011

#100-Sebelah

Tokkk Tokk

Tokk Tokk

Bunyi ketukan pintu. Zamani Salam melihat ke arah pintu biliknya. Jam 11 malam. Beliau sedang sibuk meng 'high light' nota kuliah. Dengus hatinya malas-malas membuka pintu.

Tokk Tokkk

Tokk Tokk

"Siapa?" laung Zamani Salam.

"Orang sebelah" jawab 1 suara.

"Siapa? Hamizul Ansari? Hameed Karkun? Anjasmari Maria? Leonardo Mat Tahir?Alexander Zulkarnain?" tanya Zamani Salam.

"Orang sebelah" balas lagi suara yang 1 tadi.

Zamani Salam menyumpah sedikit dalam hati. Bangkit daripada katil menuju pintu dicapai tombol dipulas ditarik pintu

Orang sebelah dengan sebelah badan berdarah-darah didepan pintu.







OK. Penulis nak cerita 'sebelah' yang lain sebenarnya. Yang diatas tu selalu terdengar di asrama-asrama sekolah, universiti, matriks dan lain-lain. Sila ikuti dan terima kasih sudi membaca-



Cerita hantu selalu dikatakan terjadi diwaktu malam. Ini menunjukkan potensi sumber tenaga untuk pekerjaan shift malam yang lebih efisyen. Pihak pekilang perlu lebih peka dengan penggunaan tenaga alam yang satu lagi ini bagi mencapai keuntungan yang lebih berbanding tenaga manusia yang majoriti cuma aktif disebelah siang.

Soal kebajikan dan pembayaran gaji penghuni alam satu lagi boleh dibincang kelak, kerana dimana ada jalan disitu ada kemahuan.

Cukup introduksi yang diatas, kita ke introduksi lebih serius. dengan tona lebih meyakinkan:-

Di kampung penulis dahulu, waktu kejadian pada tahun 90 an, pada waktu rumah lama masih tegak lagi. Sekarang ini binaan kayu diganti dengan separuh batu dan papan dan lebih diluaskan lagi kawasan dalam rumah. Seronok mengingat kenangan dirumah kampung tadi.

Kakak sepupu penulis, kita panggil Kak Jaz, sedang berbaring-baring diatas katilnya, yang muat untuk seorang, dalam bilik beliau. Waktu penulis bocah cilik lagi, memang sangat sukar untuk masuk ke bilik Kak Jaz, kecuali golongan yang perempuan dalam keluarga.

Tapi tak kisahlah, kerana penulis dan sepupu lelaki yang lain tahu tiada apa sangat dalam bilik Kak Jaz selain novel-novel, majalah Remaja, majalah entah apa sesuai dengan tema keperempuanan. Pendek kata memang bilik orang perempuan lah senang.

Cerita ini diceritakan Mak Long Tik merangkap ibu Kak Jaz sendiri. Maka Kak Jaz yang terasa mengantuk-ngantuk ayam pun mahu melelapkan mata.

Sebelum tidur, tepuk-tepuk bantal buat lebih empuk, ambil anak patung beruang 2 ke 3 ekor buat peneman (tahukah anda beruang adalah binatang yang liar dan ganas?),susun novel-novel yang telah berkali-kali dibaca,belek-belek muka pada cermin,pilih baju dalam almari yang untuk dipakai esok,bagi 'hamster' makan, periksa selak pintu bilik, sambung belek-belek muka dicermin lagi dan barulah bersiap untuk tidur.

Tutup lampulah Kak Jaz sebagai prosedur terakhir sebelum tidur.


MAKKKKKKKKKK!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

1 rumah bergegas ke bilik Kak Jaz dan Kak Jaz sendiri telah lari ke bilik Mak Long Tik selepas saja menjerit.

Bila ditanya, Kak Jaz mengatakan terasa ada 'orang' baring disebelahnya.

Terima kasih.


p/s-orang sebelah yang ditemui Zamani Salam tadi tidak semestinya 'orang' sebelah yang berbaring disebelah katil tadi.

Ahad, 16 Oktober 2011

#99-Paper

'Rafael Nadal' atau Rap (sebut rAp bukan rEp) kawan penulis dikampung. Seorang rockers sejati dan penuh pengalaman orangnya. Sangat menghormati kawan dan dihormati pula kawan-kawan. Pernah mengalas tugas berat sebagai vokalis band kampung. Senang berjumpa beliau di surau waktu terawih.

Rap pernah bekerja sebagai penghantar surat khabar dalam beberapa bulan di tahun 2008 dahulu. Kerja dengan Cina surat khabar.

Pernah penulis menemani beliau waktu mula-mula berkarier sebagai budak 'paper' route' ini ke bengkel untuk membuat 'custom made' bakul besi suratkhabar. Sekarang bengkel itu telah menjadi puing arang. Anda yang dalam perjalanan dari JB ke Pontian boleh melihat bekas tapak bengkel itu selepas kilang Mitsumi Pontian disebelah kanan jalan utama.

Berceritalah Rap suatu masa beliau menghantarlah surat khabar ditempah daripada rumah ke rumah pada suatu bening pagi. Beliau mula menghantar jam 5 pagi dan selesai jam 7 pagi sebelum bekerja di stesyen minyak Esso pula bagi melayakkan beliau meraih anugerah belia termaju kampung (jika ada).

Dibaling satu demi satu surat khabar ke kawasan depan rumah pelanggannya. Hingga ke sebuah rumah lot tepi. Dibaling suratkhabar ke dalam kawasan rumah tadi.

PUKK!!!!!

Rap dibaling semula suratkhabar yang dibalingnya tadi. Ditoleh semula ke belakang, masih gelap gelita rumah pelanggannya.

Nasiblah beliau mengamalkan pemanduan selamat dan cuma terkena belakang helmet beliau saja.

Diperhatikan lebih teliti- sebuah topekong merah kecil yang biasa kita lihat di rumah-rumah Cina bernyala-nyala lampu merah didalamnya.

Berdengus saja Rap kerana ada sesuatu yang mahu bergurau dengan beliau gelap-gelap pagi begitu.

Keluar saja lorong perumahan tadi baru Rap terasa seram sejuk. Tapi dalam hati ada 'seteguh besi'.



p/s-Tak lama kemudian Rap berhenti kerja tapi bukan kerana insiden ini.

#98-Julo di pasar

"Mak, orang keluar kejap,pergi telefon depan pasar." terang Julo sambil melangkah keluar rumah. Berumur 14 tahun, bersekolah di SDAHA. Agak kelakar orangnya dan agak gila-gila. Handal berkaitan enjin motorsikal dan bijak pandai memakan nasi.

"Balik cepat.." balas Mak Ezah, emak Julo, yang tak lepas mata daripada kaca TV. Menonton slot drama TV III bersama dengan anak-anak lain dan nenek Julo.

"Ok" pantas Julo menjawab.

"Eh kejap.Beli gula sekali....Lo ooo Lo..Beli gula. Dengar tak? Tidak esok minumlah air tak bergula kita semua.."laung Mak Ezah tiba-tiba lepas saja Julo melepasi pintu rumah.

Cuma Julo lebih pantas menghilangkan diri daripada mengambil pesan emaknya itu.

Prenggggg

Sampai Julo di perkarangan Pasar Awam Pontian. Motor berbunyi prengggg tadi milik kawan Julo. Merangkap harta sementara beliau. Jika tiada bermotor, basikal pun boleh.

Dimana ada jalanraya disitu ada bekas tayar.

Di Pasar Awam Pontian ini yang sibuk cuma pada waktu pagi dan petang saja.

Pada malamnya yang penuh ialah kucing, tikus, biawak dan entah siapa-siapa yang masuk nak memancing ikan belukang dibelakang pasar. Biawak yang mengerumuni sampah dibelakang pasar ini ada sebesar separuh sampan. Tak kacau orang.

Waktu malam cuma satu dua lampu saja lampu yang menerangi kawasan pasar. Maka lebih banyak kawasan yang gelap gelita.

Menongkatlah Julo motor tadi dan mendekati pondok telefon berwarna oren kelam.

Sebagai anak kampung, inovasi adalah perkara biasa. Julo tahu cara menggunakan telefon awam tanpa membayar apa-apa dengan sedikit teknik.

Dapatlah berbual lebih lama daripada kadar penggunaan telefon awam orang-orang dibandar.

"Helo Sayang....." mukadimah Julo dan berbuallah beliau.

"Ye ke?Hehe" gelak Julo.

"Ape pulak?Mana saya tau?" berbual Julo.

"Alaaa nanti-nanti la jumpa, baru petang tadi jumpa kan?Hah? Merajuk? Nak minta putus? Pakai apa? Chainsaw? Hehe" lawak yang cuma pasangan bercinta saja anggap lawak.

"Eeee tak mau dengar lalalala'"semakin bosan didengar lawak pasangan bercinta ini.

Tiba-tiba mata Julo menangkap sesuatu. Dalam kegelapan pasar, ditepi jalan menuju ke bahagian belakang (tempat memancing belukang) sosok manusia terbongkok-bongkok berjalan menuju ke bahagian dalam bangunan pasar.

Gelap malam tidak menerangkan secara jelas kecuali memang sah sosok itu memang sedang berjalan terbongkok-bongkok didepan mata Julo.

Lagak seperti gorila cuma ketinggiannya memang melepasi paras manusia biasa. Lebih tinggi daripada pondok telefon awam dipakai Julo tadi.

Walau dalam keadaan gelap, Julo masih ternampak sosok misteri tadi. 1, 2, 3....

Kelekunggg!!!

Hempas gagang telefon, loncat atas motor, sauk tongkat motor, terajang penghidup motor, pulas minyak habis.

Prenggggg.

Bersepah Julo melarikan diri.


p/s-Julo adalah adik sepupu penulis.

Jumaat, 14 Oktober 2011

#97-Ruan

Cerita yang diceritakan salah seorang anak nenek pada penulis (cucu Nenek/cicit Moyang Tiah)

Awal 1960 an.


"Masuk!!!" jerit Nenek (arwah pada 1976-Al Fatihah).

Bagai tak cukup anak tangga anak-anak Nenek merempuh masuk ke dalam rumah.

"Apa kena senja-senja ni masih main kat luar lagi?!!!Pergi mandi cepat!!" arah Nenek meninggikan suara untuk memaksa anak-anaknya.

Seorang demi seorang anak-anak Nenek mengangguk.

"Ni siapa pula yang main kat lumpur tadi ni?!!!Habis berlumpur tangga depan ni hah!!!!! Ya Allah!!!" marah Nenek lagi.

"Siapa buat ni?!!" jerkah Nenek bingit hatinya. Anak-anak memandang saja tak berani menjawab.

"Sabar Tam, kamu ni dah maghrib-maghrib ni janganlah nak marah-marah macam tu." sapa Moyang Tiah (arwah mertua Nenek, meninggal umur 120 tahun pada tahun 90 an-Al Fatihah) yang dari tadi melihat sahaja dari ruang tengah rumah.

"Sabar macam mana Mak?Berlumpur tangga ni hah!!Mak tengoklah. Budak-budak ni memang nak kena ni!!"balas Nenek.

"Sabar Tam nak oi. Biarlah aku bersihkan"alah Moyang Tiah kerna kasih pada cucu-cucunya.

"Tak payah la Mak, biar saya buat...." tolak Nenek.

"Tak ape-ape la, kau pergi ke dapur tu siapkan makan. Apa kau ingat aku dah tak kuat dah?" psiko Moyang Tiah.

Berlalu Nenek ke dapur teragak-agak, dan anak-anak Nenek yang perempuan pergi mandi bersama, Pak Ngah (waktu ini baru berumur awal belasan tahun) pula menunggu giliran semua mandi sebelum gilirannya. Mandi di telaga belakang rumah (sekarang sudah dikambus).

Tak berapa lama kemudian Atuk (arwah pada 2010-Al Fatihah) pulang membawa hasil jalaannya. Beberapa ekor sepat, udang sepit biru dan seekor (ha)ruan sebesar lengan budak.

Malam itu usai makan, anak-anak Nenek dan Atuk yang rajin membaca buku berteman pelita minyak tanah. Sampai hitam-hitam hidung kerana jelaga. Yang malas terus saja berbaring menanti ngantuk.

Atuk ke dapur melihat ruan ditangkapnya. Dibubuh dalam tempayan.

Dialih tudung tempayan dan tersentap sedikit. Merah matanya sang ruan berkedip memandang Atuk dari dasar tempayan.

Atuk beristighfar dan mengamalkan sedikit ilmunya. Memohon perlindungan Allah Azzawajala.

Esok pagi, Atuk membuka tempayan semula, hilang sudah ruan semalam.

p/s-penulis pernah terdengar cerita orang-orang lama jika monyet dibunuh kerana menceroboh kebun atau mati sendiri, tengkorak sang monyet akan hilang walau diletak dalam bekas yang sukar dicapai orang. Hanya tengkorak saja yang hilang. Wallahualam.

Rabu, 12 Oktober 2011

#96-Gril besi (tribute to USM)

Khas untuk pengikut blog ini (Athirah Azlan dan Nurul Jana Mohd Zan)


Buat pelajar tahun pertama (termasuk penulis) Pusat Pengajian Termaju Pengurusan Projek, Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Super Malaysia APEX, tugasan studio adalah seditif yang adiktif.

Terima atau tidak tetap perlu mendapatkannya.

Kami telah diberi pengkhususan kami sebelum mendaftar cuma kontroversinya ialah kami perlu dan wajib membuat tugasan berasaskan rekabentuk sedang permohonan kami bukan berkaitan rekabentuk.

Disini banyak berlaku ketidakadilan yang terasa membuang masa saja diulang-ulang kalau nak bercerita. Selepas batch kami, polisi ini diubah.

Berbalik pada tujuan penulisan kali ini.

Penulis masih ingat, menjelang bulan September tahun 2006, kami ditugaskan membuat pameran hasil kerja studio kami selama 7 minggu sebelumnya. Pameran diberi nama 'Exhibite'(sengaja diubah ejaan).

Penulis dan rakan-rakan penulis diberi tugas aktif, dan kerana penulis kurang berminat tugasan begini, sebolehnya mahu diam saja kerana penulis tahu siapa yang akan telan kredit lebih. Biarkan.

Adalah seorang kawan penulis ini, Sampik namanya. Kacak leher jinjang orangnya. Berpakaian kemas dan digemari ramai wanita dan lelaki orientasi lain (cerita benar). Penulis pada tahun ijazah muda tidaklah berapa rapat dengan beliau kerana bukan standard penulis.

Kami jadi lebih rapat kemudian kerana membuat Msc dan bertungkus lumus menyiapkan tugasan Msc menjadikan kami lebih menghormati satu sama lain.

Namun Sampik ini sangat peramah orangnya. Suasana akan menjadi ceria bila beliau ada. Penuh dengan lawak gaya utara beliau menyebabkan kami dan kawan-kawan lain gemar melepak minum bersama.

Habis untuk pengenalan watak.

Jadi kami semua bertungkus lumus dalam beberapa minggu untuk menjayakan 'Exhibite'. Kami dibahagi kepada beberapa kumpulan berdasarkan studio masing-masing. Studio A dan Studio B. Dipecahkan kepada beberapa lagi kumpulan dan dipecahkan lagi kepada beberapa kumpulan lagi.

1 jawatankuasa>sub kumpulan>sub kumpulan dan lain-lain lah mudahnya.

Kerja demi kerja dilakukan. Memotong board, polisterin, mewarna, menampal, memotong kertas warna, menghias, mempateri, menyambung itu ini, memaku buluh, mengikat tali jerami, menyusun atur,menyapu mengemas membuat sampah dan curi-curi tidur.

Kerja kebiasaannya akan mengambil masa hingga lebih jam 12 tengah malam setiap hari speanjang persiapan 'Exhibite' ini.

Ada juga yang tumpang tidur di studio Arki tahun 2, malah ada juga yang tak datang-datang menjengah langsung. Penulis? Ada juga menjengah tapi lebih banyak membantu kawan-kawan Kelantan bertukang.

Bagaimana pun kenangan sepanjang menjayakan 'Exhibite' ini tetap kami kenang sampai bila-bila.

Maka suatu malam, Sampik tadi berasa kepenatan. Diajak kawan-kawannya pulang. Berkali-kali diajak dan berkali-kali diminta tunggu dan tunggu. Akhirnya Sampik membuat keputusan pulang sendiri.

Desa inap Sampik di Cahya Gemilang. Perlu melalui Dataran Merah, setelah berjalan kaki hampir 500 meter dari pusat pengajian kami, ditengah Pusat Pengajian Seni dan Dewan Budaya, kemudian melalui sebelah bangunan IPS kemudian melalui jalan kelam berlorong simen terus sampai ke desa Cahya Gemilang.

Sampik mengambil jalan lain. Selepas melepasi Dataran Merah tadi, beliau melalui foyer Perpustakaan Hamzah 1, melalui sebelah kafe foyer dan akan merentasi kawasan parking berhadapan bahagian belakang stor Pusat Pengajian ##### (dirahsiakan kerana penulis tidak mahu memberitahu secara 'detail' sebab hal yang jelas).

Dua 'route' ini akan membawa ke jalan yang sama;-pulang ke desa Cahya Gemilang.

Perjalanan sepanjang Dataran Merah berjalan lancar. Ingat. Jam telah melebihi 12 tengah malam. Sampik sambil berjalan turut menyanyi-nyanyi lagu Jamal Abdillah sesuai dengan status beliau digemari ramai wanita dan lelaki orientasi lain.

Suasana yang sunyi di foyer Perpustakaan Hamzah 1. Sampik melihat-lihat ke dalam perpustakaan melalui cermin gelap dipintu masuk perpustakaan. Pastinya gelap gelita. Terus dipandang beliau ke tempat lain.

Kepala beliau sekarang cuma terisi tidur tidur tidur tidur.

Melepasi kafe foyer tadi, Sampik berjalan sedikit pantas kerana letih.

SUPPPPPPP!!

Angin kuat melepasi Sampik daripada belakang beliau. Terdorong sedikit dirinya ke depan. Sampik sudah mula terasa sesuatu.

Berjalan 1 tapak

Berjalan 2 tapak

Berjalan 3 tapak

BEDEGUMM!!!
GUMMM! BEDEGUM!!!
GUMM!!!! GUMM!!!

Gril besi stor belakang Pusat Pengajian ##### digegar oleh sesuatu yang jelas berniat jahat. Mengacau anak Adam.

Sampik berdebar-debar namun hatinya mahu melihat gril besi stor tadi. Ditoleh sedikit, stor yang gelap dan tiada sesiapa yang berani duduk dalam stor bergelap siap gril berkunci.

Tiada sesiapa selain kegelapan stor.

Diambil sedikit nafas disertai badan yang berpeluh sejuk, Sampik meneruskan langkah. Kepalanya masih memikirkan tidur tidur tidur tidur.

DUMM!!!!
DUMMM!!!!
BEDEDUMMM!!!!!

p/s-Bunyi gegaran gril tadi masih kedengaran berdentum dentum sewaktu Sampik hampir sampai ke perkarangan Desa Cahya Gemilang.


p/s/s-Sampik kalu ang baca ni ang jangan santau aku pulak. Aku saja la tulih buat tribute kat Ang juga.

Selasa, 11 Oktober 2011

Bilik 181

Dengan barang-barang penuh ditangan, 2 plastik, 2 beg kertas, 1 baldi dan 2 beg berisi pakaian dan kelengkapan lain, aku berdiri di depan pintu bilik.Berseorangan.

Maklum ini bukan universiti pertama aku.Pernah belajar disebuah universiti lain dahulu, tapi itu cerita lama.

Datang mendaftar pun berseorangan, dengan memandu sebuah Nissan Sentra putih lama. Keluargaku sibuk menguruskan adik bongsuku(perempuan) yang pada masa lebih kurang sama, mendaftar masuk belajar ke universiti di Pantai Timur, jadi aku kira lebih senang kalau aku uruskan sendiri hal aku.

Tidak mengapa. Facebook kan ada?

Aku akan mengulangi hidup, sekali lagi, sebagai pelajar universiti. Maksima 5 tahun. Rasanya tidak sampai 5 tahun waktu yang aku perlu buat menyiapkan tesisku, harap-haraplah. Nak kahwin, nak kahwin. Jangan hipokrit.

Pintu bilik bercat hijau. Nampak tidak baru warnanya. Aras ku bereka bentuk L. Dinding bercat kapur putih. Tipikal bangunan kediaman.

Koridor panjang setiap aras dan bilikku yang paling depan. Pintu bilik mengadap tandas, dan 4 ke 5 tapak berjumpa dengan pintu masuk keluar ke aras ku.

Ada tanda EXIT hijau menyala diatas pintu masuk keluar aras tadi.

Nombor pintu bilik 181.

Oh ya, terlupa-’Selamat datang ke universiti.’ ucapku pada diriku sendiri. Ku buka pintu bilik.

Meraba-raba mencari suis lampu. Plup.

Suasana langit diluar tingkap sudah kekuningan. Lampu yang bernyala tadi hidup mati hidup mati.Samada plug atau mentol yang bermasalah.Ku buka lagi satu lampu, tidak hidup.Parah.

Kalau buat aduan kerosakkan pun pejabat asrama pastinya dah lama tutup.Esok.Esok.

Keadaan bilik begini, 2 katil, 2 meja tulis, dan 2 almari. Katil ku mengadap pintu. Kalau tidur, kaki akan berlunjur ke arah pintu. Katil satu lagi dihujung dinding sana, sebelah tingkap.

Ku lihat dibelakang almari( kedua-dua almari sebelah menyebelah ditengah-tengah bilik) terdapat satu tilam lusuh tersandar didinding dengan kainnya koyak rabak, menampakkan kuning isi tilam dan sebiji bantal lusuh yang penuh tahi lalat.

Ku buka lampu meja tulis. Cahayanya cuma sekadar menerangi atas permukaan meja tulis.Bolehlah asal aku tak bergelap.

Itu saja sumber cahaya selain lampu koridor.2 kipas siling seronok berputar laju, tidak bermasalah.

Usai solat Maghrib aku mula menyelongkar almari.Pelik. Penuh buku dan baju.Penghuni sebelum ini tak angkut keluar ke semua barang mereka?

Aku tunduk ke bawah almari, menyeluk buku-buku yang bertimpa-timpa.Ku tarik satu majalah. Ujang. Keluaran lama sewaktu zaman Kharisma Publication.Penuh dengan tahi lipas dan kotoran.

Kemudian aku menuju ke satu para(buatan sendiri) sebelah meja tulis, ku lihat gambar seorang lelaki dan perempuan dalam bingkai merah hati. Kemudian ku jumpai surat-surat cinta. Hmm?Selain itu nota-nota dan kertas entah apa lagi.

Semakin pelik, takkan penghuni sebelum ini meninggalkan bilik ini begitu saja?

Aku menuju semula ke almari tadi, ku selak dan ku selongkar. Tersentuh sebotol bekas air mineral yang dipotong 2. Dasarnya berisi lipat-lipatan kertas. Ku ambil satu dan ku buka. Pamphlet aktiviti entah apa, tarikhnya tahun 2007?

Penghuni terakhir menghuni bilik ini ialah ditahun 2007? Maknanya 2011 sekarang ini 4 tahun bilik ini tidak berpenghuni?

Terasa makin pelik dan tiba-tiba terasa seram sendiri.

Ku buka pintu bilik dengan harapan ada sesiapa penghuni blok atau aras yang sama, akan menyapa atau aku sendiri yang akan menyapa.

Sunyi, sunyi, sunyi.

Sambil itu ku kemas tempat ku.Bentang cadar, buat apa patut kemudian berbaring. Pakaian dan kelengkapan lain masih dalam beg. Mahu disumbat dalam almari, dalamnya penuh. Aku perlukan surat khabar untuk mengemas yang lain-lain.Bila? Esok. Esok.

Ku toleh katil yang satu lagi. Bercadar biru dengan bunga sulam. Aku terfikir siapa manusia terakhir yang tidur disitu?Tiba-tiba terasa seram. Lagi.

Ku keluarkan radio, maaf iya? laptop ada juga ku bawa tapi waktu itu aku lebih senang mencapai radio. Ku pasang plug dan memainkan lagu Rancid- Time Bomb. Kumpulan punk tapi rentak reggae yang mereka mainkan memang sedap didengar. Nyanyian Tim Armstrong memang ‘cool’.

Malam itu.

Dalam jam 2 pagi, aku terjaga daripada tidur. Keperluan untuk ke tandas.


Buka pintu bilik yang mengadap tandas dan;-


''Swit swittt swit....Swit swit swittt''



Sesuatu yang tidak kelihatan bersiul-siul dalam kegelapan tandas. Menggamit perhatian ku yang pastinya terpegun sebentar.

Tamat.







p/s-di adaptasi daripada sebuah mimpi dejavu.