Khas untuk pengikut blog ini (Athirah Azlan dan Nurul Jana Mohd Zan)
Buat pelajar tahun pertama (termasuk penulis) Pusat Pengajian Termaju Pengurusan Projek, Perumahan, Bangunan dan Perancangan, Universiti Super Malaysia APEX, tugasan studio adalah seditif yang adiktif.
Terima atau tidak tetap perlu mendapatkannya.
Kami telah diberi pengkhususan kami sebelum mendaftar cuma kontroversinya ialah kami perlu dan wajib membuat tugasan berasaskan rekabentuk sedang permohonan kami bukan berkaitan rekabentuk.
Disini banyak berlaku ketidakadilan yang terasa membuang masa saja diulang-ulang kalau nak bercerita. Selepas batch kami, polisi ini diubah.
Berbalik pada tujuan penulisan kali ini.
Penulis masih ingat, menjelang bulan September tahun 2006, kami ditugaskan membuat pameran hasil kerja studio kami selama 7 minggu sebelumnya. Pameran diberi nama 'Exhibite'(sengaja diubah ejaan).
Penulis dan rakan-rakan penulis diberi tugas aktif, dan kerana penulis kurang berminat tugasan begini, sebolehnya mahu diam saja kerana penulis tahu siapa yang akan telan kredit lebih. Biarkan.
Adalah seorang kawan penulis ini, Sampik namanya. Kacak leher jinjang orangnya. Berpakaian kemas dan digemari ramai wanita dan lelaki orientasi lain (cerita benar). Penulis pada tahun ijazah muda tidaklah berapa rapat dengan beliau kerana bukan standard penulis.
Kami jadi lebih rapat kemudian kerana membuat Msc dan bertungkus lumus menyiapkan tugasan Msc menjadikan kami lebih menghormati satu sama lain.
Namun Sampik ini sangat peramah orangnya. Suasana akan menjadi ceria bila beliau ada. Penuh dengan lawak gaya utara beliau menyebabkan kami dan kawan-kawan lain gemar melepak minum bersama.
Habis untuk pengenalan watak.
Jadi kami semua bertungkus lumus dalam beberapa minggu untuk menjayakan 'Exhibite'. Kami dibahagi kepada beberapa kumpulan berdasarkan studio masing-masing. Studio A dan Studio B. Dipecahkan kepada beberapa lagi kumpulan dan dipecahkan lagi kepada beberapa kumpulan lagi.
1 jawatankuasa>sub kumpulan>sub kumpulan dan lain-lain lah mudahnya.
Kerja demi kerja dilakukan. Memotong board, polisterin, mewarna, menampal, memotong kertas warna, menghias, mempateri, menyambung itu ini, memaku buluh, mengikat tali jerami, menyusun atur,menyapu mengemas membuat sampah dan curi-curi tidur.
Kerja kebiasaannya akan mengambil masa hingga lebih jam 12 tengah malam setiap hari speanjang persiapan 'Exhibite' ini.
Ada juga yang tumpang tidur di studio Arki tahun 2, malah ada juga yang tak datang-datang menjengah langsung. Penulis? Ada juga menjengah tapi lebih banyak membantu kawan-kawan Kelantan bertukang.
Bagaimana pun kenangan sepanjang menjayakan 'Exhibite' ini tetap kami kenang sampai bila-bila.
Maka suatu malam, Sampik tadi berasa kepenatan. Diajak kawan-kawannya pulang. Berkali-kali diajak dan berkali-kali diminta tunggu dan tunggu. Akhirnya Sampik membuat keputusan pulang sendiri.
Desa inap Sampik di Cahya Gemilang. Perlu melalui Dataran Merah, setelah berjalan kaki hampir 500 meter dari pusat pengajian kami, ditengah Pusat Pengajian Seni dan Dewan Budaya, kemudian melalui sebelah bangunan IPS kemudian melalui jalan kelam berlorong simen terus sampai ke desa Cahya Gemilang.
Sampik mengambil jalan lain. Selepas melepasi Dataran Merah tadi, beliau melalui foyer Perpustakaan Hamzah 1, melalui sebelah kafe foyer dan akan merentasi kawasan parking berhadapan bahagian belakang stor Pusat Pengajian ##### (dirahsiakan kerana penulis tidak mahu memberitahu secara 'detail' sebab hal yang jelas).
Dua 'route' ini akan membawa ke jalan yang sama;-pulang ke desa Cahya Gemilang.
Perjalanan sepanjang Dataran Merah berjalan lancar. Ingat. Jam telah melebihi 12 tengah malam. Sampik sambil berjalan turut menyanyi-nyanyi lagu Jamal Abdillah sesuai dengan status beliau digemari ramai wanita dan lelaki orientasi lain.
Suasana yang sunyi di foyer Perpustakaan Hamzah 1. Sampik melihat-lihat ke dalam perpustakaan melalui cermin gelap dipintu masuk perpustakaan. Pastinya gelap gelita. Terus dipandang beliau ke tempat lain.
Kepala beliau sekarang cuma terisi tidur tidur tidur tidur.
Melepasi kafe foyer tadi, Sampik berjalan sedikit pantas kerana letih.
SUPPPPPPP!!
Angin kuat melepasi Sampik daripada belakang beliau. Terdorong sedikit dirinya ke depan. Sampik sudah mula terasa sesuatu.
Berjalan 1 tapak
Berjalan 2 tapak
Berjalan 3 tapak
BEDEGUMM!!!
GUMMM! BEDEGUM!!!
GUMM!!!! GUMM!!!
Gril besi stor belakang Pusat Pengajian ##### digegar oleh sesuatu yang jelas berniat jahat. Mengacau anak Adam.
Sampik berdebar-debar namun hatinya mahu melihat gril besi stor tadi. Ditoleh sedikit, stor yang gelap dan tiada sesiapa yang berani duduk dalam stor bergelap siap gril berkunci.
Tiada sesiapa selain kegelapan stor.
Diambil sedikit nafas disertai badan yang berpeluh sejuk, Sampik meneruskan langkah. Kepalanya masih memikirkan tidur tidur tidur tidur.
DUMM!!!!
DUMMM!!!!
BEDEDUMMM!!!!!
p/s-Bunyi gegaran gril tadi masih kedengaran berdentum dentum sewaktu Sampik hampir sampai ke perkarangan Desa Cahya Gemilang.
p/s/s-Sampik kalu ang baca ni ang jangan santau aku pulak. Aku saja la tulih buat tribute kat Ang juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan