Pada tahun pengenalan PLKN (2004), kemudahan kem yang disediakan memang berkonsep ketenteraan. Makan dalam khemah besar (sekarang dalam dewan), mahu pulang ke rumah perlu menunggu cuti panjang sedikit (adalah 3 hari, sekarang ada yang sampai seminggu) itu pun bukan semua boleh pulang ke rumah.
Yang rumah jauh di utara, pantai timur atau yang kurang mampu berkhemahlah dalam kem. Nak bersedih dan mengadu pada keluarga pun waktu itu telefon tangan adalah barang berjenama. Eksklusif.
Zaman sekarang pelajar PMR pun ada Blackberry, tiada nilai eksklusitiviti itu lagi.
Setiap malam kami para pelatih yang digelar Wirawan (Wirawati untuk perempuan) berdepan dengan maut kerana khemah kain yang disediakan dipasang dibawah pokok besar 1 setengah pemeluk.
Sekarang fasiliti yang disediakan bertaraf selesa, jika tidak selesa tiada siapa lagi yang merosakkan kemudahan tersebut selain pelatih sendiri. Hantu? Mereka tidak terlibat dengan vandalisme kerana tahu peranan mereka telah diambil alih dan jauh lebih efisyen impak kerosakkan.
Penulis pernah terdengar sebuah universiti kerugian RM1 juta angkara vandalisme waktu pelatih ditempatkan di universiti (sekarang semua aktiviti dalam kem, dahulu 1 bulan lebih di kem, dan 1 bulan lebih di universiti awam).
Di kem (di Asahan, Jasin, Melaka) penulis dulu banyak terdengar kisah-kisah seram dan ada yang pernah penulis catatkan dalam penulisan berkaitan PLKN juga sebelum ini, jadi yang akan dikongsi bersama kali ini adalah cerita-cerita selain daripada penulisan terdahulu-
1-Ada satu masa kami menjalani aktiviti 'water confident' di tasik berhampiran kem. Kami perlu berjalan atau adakalanya menaiki bas ke kawasan tasik yang cuma dalam kurang 500 meter.
Kawasan tasik ini agak luas dan setiap kali dijalankan aktiviti disini, kami diberi ingatan agar tidak membaling batu-batu kecil ke mana-mana arah terutama dikawasan hutan kecil sebelah tasik.
Setelah dikorek-korek cerita, rupanya ada kes kecederaan anak makhluk halus patah tulang tulang mereka angkara pelatih membaling-baling batu ke kawasan mereka.
Ada seorang jurulatih sambil berkias-kias mengatakan ada sebuah rumah yang tidak kelihatan berhampiran tasik. Wallahualam.
2-Waktu malam selepas waktu tidur, jarang ada pelatih yang berani ke tandas berseorangan. Binaan tandas ini seluas rumah teres dan dibahagi-bahagi kepada setiap kumpulan, contoh ada kumpulan Alpha, Beta, Charlie, dan Delta makanya setiap kumpulan ada tandas masing-masing. Setiap kumpulan pula dipecahkan kepada 2 kumpulan- Charlie I dan Charlie II contohnya.
Seingat penulis tiadalah kejadian pelik yang menakutkan berlaku ditandas, cuma entah apa sebabnya tidak ramai yang betul-betul berani ke tandas berseorangan selepas tengah malam.
Nak kata kalau berpuaka seperti tandas asrama-asrama sekolah, kem itu pada waktu itu baru saja beberapa bulan siap (tanun 2004).
Tapi kalau anda masuk ke kawasan tandas sebesar begitu dengan satu kolam tadahan air pada malam sunyi, sedikit sebanyak apa gambaran atau perasaan anda? Atau apa kata anda jika saya katakan pernah disuatu masa dekat-dekat senja, seorang pelatih wanita disampuk sesuatu hingga masuk ke tandas lelaki?
3-Staff-staff(komando GGK) atau jurulatih yang melatih kami (bekas askar atau anggota JPA) yang kami panggil cikgu banyak berkongsi pengalaman dengan kami.
Seorang cikgu yang penulis terlupa namanya berkongsi cerita yang askar biasa yang melalui kursus asas komando akan mengalami tekanan yang terlalu hebat hingga jika tersilap ditegur waktu keletihan yang teramat sangat, kita yang menegur perlu berhati-hati.
Ada juga staff komando yang mengatakan waktu dalam latihan mereka, tidaklah menjadi kehairanan jika mereka lebih selesa tidur dijirat Cina berbanding kawasan yang sewajarnya. Kerana keselesaan tanah tambak diselimut rumput padang golf seolah-olah berbaring ditilam lembut setelah kepenatan.
Paling dielak sekali ialah kubur penganut Hindu. Diakui sangat keras.
Jika teringat lagi dimasa kelak, Insya Allah penulis kongsikan lagi disini. Terima kasih sudi membaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan