Ahad, 27 November 2011

#109-Tengahari

Merayap keluar rumah memang menyeronokkan. Buat kanak-kanak ia adalah satu keperluan tambahan pula usia mentah begitu pastinya tidak banyak perkara perlu difikirkan.

Yang penting gembira dan seronok.

Sa'don perlahan lahan, selepas menjemur kasut yang siap dikapur, membuka pintu dapur. Emaknya tidur siang diruang tamu bersama 2 adiknya. Semalam hari Jumaat waktu sekolah, hari ini hari Sabtu waktu bermain. Falsafah kanak-kanak. Jam selepas 12 setengah hari.

Perlahan dikatup pintu dapur yang memang dibiar tidak terkunci. Zaman itu tidaklah aktiviti jenayah begitu berleluasa. Kalau ada pun waktu itu hangat kes Balai Polis Batu Pahat diserang kumpulan ajaran sesat Muhammad Nasir. Buat Sa'don ia tidak mendatangkan apa-apa pada dirinya yang cuma kanak-kanak sekolah rendah dikampung saja.

Cuma berkaki ayam Sa'don berlari pantas ke kawasan biasa beliau dan rakan-rakan lain berkumpul. Berhampiran sebatang pokok mangga disebelah kebun Cina Kiau. Disitu terdapat sebuah pondok buruk yang menempatkan mesin getah rosak.

Jadin, rakan Sa'don bermain-main dengan cawan bekas getah beku. Ditelangkup satu persatu.

Sa'don melaung bila semakin menghampiri pondok buruk itu.

'Jadin, ada hantu belakang kau!'

Jadin tidak peduli. Itu lawak basi rakan-rakan beliau. Waktu siang ada hantu?

'Bodoh la kau ni. Yang lain mana?' tanya Jadin bila Sa'don hanya tiga ke empat langkah menghampiri pondok buruk.

'Entah. Kau tak tau ke mana yang lain?' soal Sa'don bertinggung sebelah Jadin.

'Mana aku tau, bodoh.' balas Jadin menelangkupkan lagi cawan bekas getah beku.

'Jom lah pergi panggil yang lain' ajak Sa'don tidak peduli dengan 'bodoh' Jadin.

'Panas ni. Nanti la dulu. Mak kau masak apa?'kata Jadin yang masih asyik bermain dengan cawan bekas getah beku.

'Entah. Aku tak sempat tengok.Mak kau masak apa?' soal Sa'don.

'Kepala budak rebus. Haha' lawak Jadin.

'Takkan kita berdua aja nak main ni?Yang lain tidur juga ke?' tidak peduli Sa'don pada lawak Jadin tadi.

'Mana aku tau, bodoh' carut lagi Jadin.

'Nak main apa pun?' tanya Jadin.

'Jom masuk kebun Kiau.' ajak Sa'don.

'Panas la. Kau ni nak jadi hitam eh? Aku nak jadi putih.' jawab Jadin. Bosan pula bermain cawan bekas getah beku. Dialih duduknya mengadap Sa'don.

'Habis tu nak main apa?'

'Entah' balas Jadin.

Senyap 2 kanak-kanak ini.

Terjongol tiba-tiba seorang lelaki tua didepan pondok.

'Kau buat apa hah?' tanya keras lelaki tua tadi.

'Tengahari ni main diluar. Buat apa hah?' tanya lagi si lelaki tua.

'Tok siapa?' tanya Sa'don. Jadin diam melihat.

'Kamu tahu kenapa tengahari ni tak elok main diluar?'soal lelaki tua.

'Tahu Tok. Mak saya cakap tak elok tengahari keluar. Setan ada waktu tengahari' balas Sa'don jujur.

'Habis kenapa kamu main diluar juga?' tanya lagi lelaki tua.

Diam Sa'don. Jadin diam sama.

'Balik!!' jerit lelaki tua.

Jadin menarik Sa'don keluar pondok. Berlari.

p/s- mereka berdua tidak dapat mengecam lelaki tua itu sehingga sekarang (2011), padahal mereka sesama kampung memang saling kenal mengenal setiap ahlinya. Mahu dikatakan pekerja Cina Kiau, tidak pula Cina Kiau ada pekerja lelaki tua.

Hairannya sesekali Sa'don ada melihat orang tua itu disekitar kampung. Sekelip mata hilang selepas mata hanya berkelip sekali.

Selasa, 22 November 2011

Ikan

Suasana di daerah Pontian pada tahun 30an dibandingkan dengan zaman kini pasti seperti membandingkan Lamborghini Itali dan Geely China. Jauh bezanya.

Mahu ke bandar perlu berbasikal, berjalan atau kalau orang kaya berkenderaan sendiri. Kalau ke Bandar Pontian teringin juga membeli macam-macam. Singgah ke pasar teringin juga merasa ikan-ikan segar. Dulu ikan besar-besar. Harga pun murah-murah.

Orang kebiasaan kalau mahu makan ikan biasanya membeli atau memancing atau menjala, bukan?Orang zaman dulu tak perlu Tesco atau Econsave untuk berjimat cermat membeli barang makanan. Bagaimana? Baca cerita dibawah.

Cerita ini disampaikan Pak Andak penulis. Tentang seorang waris tua keluarga kami. Sudah lama meninggal dunia.

Keluarga beliau ini, waris tua tadi, beranak ramai.

Waris tua kami ini ada mengamalkan ilmu-ilmu batin. Jadi suatu hari seorang ahli keluarga teringin memakan sejenis ikan laut. Maka dimaklumkan kepada beliau. Beliau mendiamkan diri saja mendengar.

Petang itu di tengah laman rumah, entah dari mana, muncul seekor ikan daripada jenis yang diidamkan ahli keluarga tadi. Besar ikannya. Tidaklah tahu bagaimana boleh ada tiba-tiba ditengah laman begitu.

Malam itu ikan laut bersaiz besar dimasak gulai.

Isnin, 21 November 2011

#108-Bapa

Suasana ditengah laut pada malam itu tenang saja. Kelihatan sebuah sampan teroleng-oleng ditolak ombak. Semasa itu bulan Ramadhan.

Hanyir laut memenuhi rongga peparu. Long Jani dan seorang anak sekampung beliau, Noh memancing bersama.

Semenjak awal tadi, dari masa menolak sampan ke laut, Noh kelihatan seperti memikirkan sesuatu dengan mendalam. Long Jani membiarkan saja anak muda itu. Jarak usia hampir 30 tahun mereka berdua namun begitu baik berkawan.

'Kamu ni kenapa Noh? Mati bini ke tapi tak berbini lagi?' tanya Long Jani sambil mata tidak lepas memandang arah batang pancing dibaling sebelumnya.

'Tak ada apa-apa Pak Long' menjawab lemah Noh.

'Kamu tu sebelum lahir lagi aku dah kenal Noh. Beritahu aku. Aku ni taraf bapa kamu juga. Kamu risau raya nak dekat dah ni? Kamu tak cukup duit ke nak?' tanya lagi Long Jani.

'Duit memang tak pernah cukup Pak Long' senyum tawar Noh menjawab.

'Habis tu? Aku rasa kamu dok memikir tentang bapa kamu, betul?' tekaan kasar Long Jani.

'Siang tadi Ayah mengamuk di rumah. Dibalingnya barang-barang ke Mak dan adik-adik saya. Mujur saya ada dirumah waktu tu. Yang pecah nak kena berganti. Raya pun dah dekat ni. Ubat Ayah lagi. Beli beras lagi. Hutang dikedai pun entah dah berapa banyak. Segan saya dengan Pak Uda kedai runcit tu.' jelas Noh seperti membenarkan tekaan Long Jani ditambah fakta ekonomi beliau.

'Maaflah cakap tapi bapa kamu, Yahya , tu pemikirannya dah tak berapa betul macam kita orang sihat ni. Kita ni masih boleh berfikir. Kalau berjalan keluar rumah boleh berpakaian lengkap. Tapi bapa kamu tu dah tak dapat bezakan seluar dengan kain guni. Aku kenal sangat bapa kamu tu. Dulu kami sama-sama ke laut, macam ni hah' kata Long Jani menghela nafas, menandakan kasihan pada Noh dan keluarga.

Noh mengangguk lemah.

'Dah lah,tak usah kamu fikirkan sangat.' tambah lagi Long Jani.

'Aku ni tak la kaya, tapi kalau nak beri kamu 100 ke 200 ringgit tu boleh lah. Mujur anak aku si Fatimah tu memberi juga tiap tiap bulan. Dapatlah tambah tambah sikit untuk aku dengan Mak cik Dayah kamu tu. Esok siang kamu ke rumah aku ye Noh?Ambil duit. Kamu pakai dulu duit tu, tak usah fikir bila nak bayar. Lagi pun kamu tu takkan lari punyalah. Kalau lari pun aku minta Derih Gandum santaukan kamu. Hahaha!!' gurau Long Jani.

'Terima kasih Pak Long. Terima kasih.' jawab Noh sedikit gembira.

'Dah. Baling mata kail kamu ke laut.' arah Long Jani.



PAGI ESOK.


'Bang oi Bang, bangun Bang, bangun cepat!' sedikit tinggi suara Mak Dayah, isteri Long Jani.

Long Jani terus tertidur selepas sahur pagi tadinya. Rasa malas-malas nak bangun hujung-hujung minggu begitu. Teringat kenangan waktu bekerja dengan JKR dulu.

'Abang pergi tengok dirumah Yahya tu. Cepat Bang. Ada polis ramai-ramai datang.' jelas Mak Dayah yang membuat Long Jani terus segar bugar.

'Yahya? Noh ada datang sini dah ke?' tanya Long Jani.

'Noh anak Yahya tu? Tak ada Bang. Cepatlah pergi tengok rumah Yahya tu. Ramai polis disana tu. Cepat Bang. Risau saya si Lilah dan anak-anaknya tu. Entah Yahya mengamuk ke apa pagi-pagi ni' semakin cemas Mak Dayah. Dia dan Lilah, ibu Noh pangkat 2 pupu.

'Hah, yelah yelah. Kamu siapkan kopi cepat.' bingkas Long Jani.

'Kopi ke bendanya Bang oi!!Puasa ni!! CEPATLAH PERGI RUMAH YAHYA TU!!TENGOK SI LILAH ANAK BERANAK TU!!!!!' marah betul Mak Dayah.

'Hah yelah yelah' panik sedikit Long Jani. Berdesup sudah jejak kaki ke tanah.

Berlari-lari.

Kejauhan dilihat rumah Yahya dipenuhi orang kampung. Pihak polis kelihatan seperti tertekan dan berjaga-jaga. Nampak senapang dan pistol dihala ke rumah Yahya.

Ya Allah. Kenapa ni? Ya Allah selamatkanlah mereka sekeluarga- doa Long Jani menghampiri kawasan kerumunan ramai pagi itu.

'Hah Jani. Kamu baru sampai ke?' tegur Lebai Kasap. Bersama-sama beliau beberapa orang tua kampung mereka yang lain.

'Aku baru sampai. Kenapa ni? Yahya mengamuk ke?' tanya Long Jani kembali.

'Noh dah meninggal Jani. Anak saudara kamu tu disembelih Yahya lepas Subuh tadi. Ni pihak polis masih mencari apa cara paling sesuai masuk ke dalam rumah. Lilah dengan 2 orang lagi anak masih didalam, tak tahulah apa jadi. Nasib ada seorang adik Noh dapat lari keluar Subuh tadi. Dia yang beritahu orang kampung.' jelas Lebai Kasap.

'Sabar Jani. Kami tahu kamu rapat dengan arwah Noh tu. Dah ajal dia.' pujuk seorang tua lain.

'Betul ke ni?' tanya Long Jani menahan tangis. Baru malam tadi mereka bergurau-gurau ditengah laut, pagi ini sudah terpisah antara alam.

Lebai Kasap dan lain mengangguk.


p/s-Yahya menjadi gila kerana dimakan ilmu batin. Arwah Noh disembelih bapanya selepas selesai sahur paginya. Waktu ditemui leher beliau hampir putus dikerjakan bapanya sendiri. Lilah dan anak-anaknya yang lain pula terselamat kerana bersembunyi dalam bilik yang kukuh kayu pintu dan dinding.

Khamis, 17 November 2011

Assalamualaikum

Perjalanan saya, Ustaz Jabit dan Abang Sagor malam itu tenang saja. Memandu van Mitsubishi tua saya.

Kami baru pulang mendengar ceramah disampaikan seorang penceramah terkenal di Kampung Jawa. Jarak dengan kampung kami dalam 20 kilometer lebih.

Dalam perjalanan kami berbincang tentang isi ceramah didengar tadi. Ustaz Jabit menghuraikan beberapa perkara yang kami tidak faham dan segan pula bertanya semasa ceramah tadi. Ada juga perkara yang melucukan hati. Ustaz Jabit memang pandai menyelitkan humor agar kami tidak bosan mendengar.

Saya membelok ke arah kiri. Niat saya mahu berhenti minum di warung Ismail Fatah. Mahu belanja Ustaz Jabit dan Abang Sagor. Jika tidak membelok tadi boleh juga sampai terus ke kawasan kampung kami. Jalan yang dimasuki ini juga boleh sampai ke kampung kami. Cuma sedikit jauh dan tidak berapa ramai rumah didalamnya.

Kejauhan dilihat gelap saja warung Ismail Fatah. Tutup pula perniagaan Melayu seorang ini.

Memandangkan tutup, saya berhenti untuk membelok. Keluar semula ke jalan tadi. Abang Sagor menyuruh saja saya terus memandu. Leceh katanya.

Saya bila diminta begitu pun mengiyakan saja.

Van dipandu tenang melalui deret pokok getah.

Suluhan lampu van menyuluh 2 orang didepan. Saya memperlahankan van.

Seorang lelaki berjubah berserban dan seorang perempuan berpurdah hitam. Melambai-lambai tangan tanda mahu menumpang.

Tidaklah saya berasa seram kerana ada teman didalam van. Maka saya berhenti.

"Assalamualaikum" sapa Abang Sagor yang duduk disebelah kiri saya.

"Umm" balas lelaki berjubah berserban tadi.

"Nak tumpang ke? Kami nak ke Kampung Padang Bola ni" ramah Abang Sagor.

"Kami mahu tumpang sampai ke depan sana saja" jawab lelaki berjubah berserban.

Ustaz Jabit yang duduk dibelakang membuka pintu van. Pasangan itu naik duduk dikerusi paling belakang.

"Nak kemana?" tanya Ustaz Jabit sambil saya terus memandu.

"Melawat anak bersalin" jawab lelaki berjubah berserban. Perempuan berpurdah tadi diam saja.

Perjalanan kami diteruskan.

Tiba-tiba kami terbau busuk. Saya menoleh cermin pandang belakang.

Ya Allah. Lelaki tadi bermuka beruk.

Terus saya menekan brek. Kami terdorong ke depan. Saya terus menoleh ke belakang diikuti Abang Sagor.

Lelaki dan wanita tadi ketawa dengan suara mengikih ngikih garau.

Ustaz Jabit terus melaungkan azan.

Sekelip mata lelaki dan wanita tadi terbang melalui cermin van yang terbuka dibelakang. Hinggap disebatang pokok besar ditepi jalan.

Saya terkedu. Ustaz Jabit pula membuka pintu van, keluar dan menyambung azan.

Ketawa lelaki dan wanita yang telah bertukar itu masih kedengaran bila mereka terbang memasuki kegelapan malam dibelukar sebelah jalan.

Saya dan Abang Sagor termangu-mangu. Terpaksa Ustaz Jabit membaca ayat suci dan menghembus ke muka kami.

5 minit kemudian kami bergerak semula.

Rabu, 16 November 2011

Borak sebelah hutan

Sekawan budak berbual-bual dilaman rumah seorang daripada mereka. Rumah berhampiran hutan tebal. Jam melepasi tengah malam.

Seronok berbual dengan kawan kawan sekepala.Esok pagi perlu ke sekolah pun tak mengapa. Layan berbual dulu.

Seorang daripada mereka melirik ke dalam kegelapan hutan disebelah. Seorang menegah. Seorang sambung lagi berbual. Mengikut berbual yang lain.

Seorang yang lain pula melirik ke dalam hutan. Dimarah seorang lain. Senyap sekejap sebelum seorang lagi memecah kesunyian dengan cerita kelakar. Tergelak semua.

Hi hi hi hi. Ngilai sesuatu menyambut gelakkan mereka kawan-kawan.Dari tengah hutan yang gelap gelita.

Peliknya mereka boleh terus berbual. Dan pastinya semua tak balik rumah malam itu. Tidur dirumah kawan tadi.

Khamis, 10 November 2011

Komik

http://comic.naver.com/webtoon/detail.nhn?titleId=350217&no=31&weekday=tu

#107-Teman

Tenang saja memandu melalui jalan besar. Kiri kanan ladang sawit. Rasanya tidak lama lagi perlu penanaman semula jika dilihat ketinggian pokok sawit hampir tinggi pokok kelapa. Perlukan hasil yang lebih terjamin. Produktif.

Gelap gelita malam itu.Bulan penuh tiada, bulan sabit tiada dan hanya bulan separuh menjenguk lesu dibalik asap-asap nipis awan nimbus.

Kereta dipandu tenang. 1.8liter.

Kejauhan dilihat cahaya lampu. 2 cahaya lampu bulat oren. Dijalan bertentangan di lane sebelah.

Berbunyi tiba-tiba telefon bimbit. Dijeling skrin. Nombor tidak dikenali. Biarkan. Mata kembali tertumpu ke jalan raya didepan.

Berbunyi lagi. Masih nombor tidak dikenali tadi. Tidak berminat melayan. Dibiarkan.

Semakin dekat cahaya lampu tadi. Lebih kurang 30 meter.

Masih berbunyi telefon bimbit. Dibiarkan.

Siapa punya nombor lah ni- bisik hati. Berfikir-fikir mengingat-ingat.Tidak pula mana-mana nombor menerjah ingatan. Sah tidak dikenalnya.

Berbunyi lagi. Mula terasa kurang selesa. Tapi sekurang-kurangnya ada teman juga. Itu lampu cahaya tadi. Pastinya ada kenderaan lain menggunakan jalan yang sama pada waktu yang sama. Walau bukan dalam 1 kenderaan tapi ada juga orang lain.

"Eh, mana kereta tadi?" hampir terjerit patah perkataan melambangkan terkejut tiba-tiba.

Tiada cahaya lampu didepan tadi. Hilang tiba-tiba. Jalan ini jalan lurus yang panjang berbukit. Tiada simpang kiri kanan.

Terus diangkat telefon berbunyi tadi. Jadi teman hati yang ketakutan.

Khamis, 3 November 2011

Akhir

Sahrul memandang jalan raya. Diregang-regang sedikit leher. Penat terbongkok-bongkok membasuh kereta pelanggan. Beliau bekerja sambilan di 'car wash' di Parit Raja disini di daerah Batu.

Hari ini bermula dari pagi tadi sudah 11 buah kereta dibasuh beliau. Dilihat seorang rakan sekerjanya melepas penat diatas kerusi kereta yang dicabut dan diletak dibawah khemah berhampiran pejabat. Goyang-goyang kaki. Tersenyum melelapkan mata.

Sahrul berkira-kira siap saja dibasuh kereta model Myvi warna hitam ini, beliau mahu berehat sebentar. Rokok sebatang.

Tinn tinn tinnn

Sahrul menoleh ke jalan raya. Arifin, kenalannya, yang memandu motor membunyikan hon. Melambai tangan ke arah Sahrul.

Dibalas semula lambaian.


PUMMMMMM!!!!!!

Arifin digilis sebuah lori treler. Depan mata Sahrul.

p/s-baru terjadi dalam sebulan lepas.