Khamis, 17 November 2011

Assalamualaikum

Perjalanan saya, Ustaz Jabit dan Abang Sagor malam itu tenang saja. Memandu van Mitsubishi tua saya.

Kami baru pulang mendengar ceramah disampaikan seorang penceramah terkenal di Kampung Jawa. Jarak dengan kampung kami dalam 20 kilometer lebih.

Dalam perjalanan kami berbincang tentang isi ceramah didengar tadi. Ustaz Jabit menghuraikan beberapa perkara yang kami tidak faham dan segan pula bertanya semasa ceramah tadi. Ada juga perkara yang melucukan hati. Ustaz Jabit memang pandai menyelitkan humor agar kami tidak bosan mendengar.

Saya membelok ke arah kiri. Niat saya mahu berhenti minum di warung Ismail Fatah. Mahu belanja Ustaz Jabit dan Abang Sagor. Jika tidak membelok tadi boleh juga sampai terus ke kawasan kampung kami. Jalan yang dimasuki ini juga boleh sampai ke kampung kami. Cuma sedikit jauh dan tidak berapa ramai rumah didalamnya.

Kejauhan dilihat gelap saja warung Ismail Fatah. Tutup pula perniagaan Melayu seorang ini.

Memandangkan tutup, saya berhenti untuk membelok. Keluar semula ke jalan tadi. Abang Sagor menyuruh saja saya terus memandu. Leceh katanya.

Saya bila diminta begitu pun mengiyakan saja.

Van dipandu tenang melalui deret pokok getah.

Suluhan lampu van menyuluh 2 orang didepan. Saya memperlahankan van.

Seorang lelaki berjubah berserban dan seorang perempuan berpurdah hitam. Melambai-lambai tangan tanda mahu menumpang.

Tidaklah saya berasa seram kerana ada teman didalam van. Maka saya berhenti.

"Assalamualaikum" sapa Abang Sagor yang duduk disebelah kiri saya.

"Umm" balas lelaki berjubah berserban tadi.

"Nak tumpang ke? Kami nak ke Kampung Padang Bola ni" ramah Abang Sagor.

"Kami mahu tumpang sampai ke depan sana saja" jawab lelaki berjubah berserban.

Ustaz Jabit yang duduk dibelakang membuka pintu van. Pasangan itu naik duduk dikerusi paling belakang.

"Nak kemana?" tanya Ustaz Jabit sambil saya terus memandu.

"Melawat anak bersalin" jawab lelaki berjubah berserban. Perempuan berpurdah tadi diam saja.

Perjalanan kami diteruskan.

Tiba-tiba kami terbau busuk. Saya menoleh cermin pandang belakang.

Ya Allah. Lelaki tadi bermuka beruk.

Terus saya menekan brek. Kami terdorong ke depan. Saya terus menoleh ke belakang diikuti Abang Sagor.

Lelaki dan wanita tadi ketawa dengan suara mengikih ngikih garau.

Ustaz Jabit terus melaungkan azan.

Sekelip mata lelaki dan wanita tadi terbang melalui cermin van yang terbuka dibelakang. Hinggap disebatang pokok besar ditepi jalan.

Saya terkedu. Ustaz Jabit pula membuka pintu van, keluar dan menyambung azan.

Ketawa lelaki dan wanita yang telah bertukar itu masih kedengaran bila mereka terbang memasuki kegelapan malam dibelukar sebelah jalan.

Saya dan Abang Sagor termangu-mangu. Terpaksa Ustaz Jabit membaca ayat suci dan menghembus ke muka kami.

5 minit kemudian kami bergerak semula.

Tiada ulasan: