Ahad, 27 November 2011

#109-Tengahari

Merayap keluar rumah memang menyeronokkan. Buat kanak-kanak ia adalah satu keperluan tambahan pula usia mentah begitu pastinya tidak banyak perkara perlu difikirkan.

Yang penting gembira dan seronok.

Sa'don perlahan lahan, selepas menjemur kasut yang siap dikapur, membuka pintu dapur. Emaknya tidur siang diruang tamu bersama 2 adiknya. Semalam hari Jumaat waktu sekolah, hari ini hari Sabtu waktu bermain. Falsafah kanak-kanak. Jam selepas 12 setengah hari.

Perlahan dikatup pintu dapur yang memang dibiar tidak terkunci. Zaman itu tidaklah aktiviti jenayah begitu berleluasa. Kalau ada pun waktu itu hangat kes Balai Polis Batu Pahat diserang kumpulan ajaran sesat Muhammad Nasir. Buat Sa'don ia tidak mendatangkan apa-apa pada dirinya yang cuma kanak-kanak sekolah rendah dikampung saja.

Cuma berkaki ayam Sa'don berlari pantas ke kawasan biasa beliau dan rakan-rakan lain berkumpul. Berhampiran sebatang pokok mangga disebelah kebun Cina Kiau. Disitu terdapat sebuah pondok buruk yang menempatkan mesin getah rosak.

Jadin, rakan Sa'don bermain-main dengan cawan bekas getah beku. Ditelangkup satu persatu.

Sa'don melaung bila semakin menghampiri pondok buruk itu.

'Jadin, ada hantu belakang kau!'

Jadin tidak peduli. Itu lawak basi rakan-rakan beliau. Waktu siang ada hantu?

'Bodoh la kau ni. Yang lain mana?' tanya Jadin bila Sa'don hanya tiga ke empat langkah menghampiri pondok buruk.

'Entah. Kau tak tau ke mana yang lain?' soal Sa'don bertinggung sebelah Jadin.

'Mana aku tau, bodoh.' balas Jadin menelangkupkan lagi cawan bekas getah beku.

'Jom lah pergi panggil yang lain' ajak Sa'don tidak peduli dengan 'bodoh' Jadin.

'Panas ni. Nanti la dulu. Mak kau masak apa?'kata Jadin yang masih asyik bermain dengan cawan bekas getah beku.

'Entah. Aku tak sempat tengok.Mak kau masak apa?' soal Sa'don.

'Kepala budak rebus. Haha' lawak Jadin.

'Takkan kita berdua aja nak main ni?Yang lain tidur juga ke?' tidak peduli Sa'don pada lawak Jadin tadi.

'Mana aku tau, bodoh' carut lagi Jadin.

'Nak main apa pun?' tanya Jadin.

'Jom masuk kebun Kiau.' ajak Sa'don.

'Panas la. Kau ni nak jadi hitam eh? Aku nak jadi putih.' jawab Jadin. Bosan pula bermain cawan bekas getah beku. Dialih duduknya mengadap Sa'don.

'Habis tu nak main apa?'

'Entah' balas Jadin.

Senyap 2 kanak-kanak ini.

Terjongol tiba-tiba seorang lelaki tua didepan pondok.

'Kau buat apa hah?' tanya keras lelaki tua tadi.

'Tengahari ni main diluar. Buat apa hah?' tanya lagi si lelaki tua.

'Tok siapa?' tanya Sa'don. Jadin diam melihat.

'Kamu tahu kenapa tengahari ni tak elok main diluar?'soal lelaki tua.

'Tahu Tok. Mak saya cakap tak elok tengahari keluar. Setan ada waktu tengahari' balas Sa'don jujur.

'Habis kenapa kamu main diluar juga?' tanya lagi lelaki tua.

Diam Sa'don. Jadin diam sama.

'Balik!!' jerit lelaki tua.

Jadin menarik Sa'don keluar pondok. Berlari.

p/s- mereka berdua tidak dapat mengecam lelaki tua itu sehingga sekarang (2011), padahal mereka sesama kampung memang saling kenal mengenal setiap ahlinya. Mahu dikatakan pekerja Cina Kiau, tidak pula Cina Kiau ada pekerja lelaki tua.

Hairannya sesekali Sa'don ada melihat orang tua itu disekitar kampung. Sekelip mata hilang selepas mata hanya berkelip sekali.

Tiada ulasan: