Isnin, 21 November 2011

#108-Bapa

Suasana ditengah laut pada malam itu tenang saja. Kelihatan sebuah sampan teroleng-oleng ditolak ombak. Semasa itu bulan Ramadhan.

Hanyir laut memenuhi rongga peparu. Long Jani dan seorang anak sekampung beliau, Noh memancing bersama.

Semenjak awal tadi, dari masa menolak sampan ke laut, Noh kelihatan seperti memikirkan sesuatu dengan mendalam. Long Jani membiarkan saja anak muda itu. Jarak usia hampir 30 tahun mereka berdua namun begitu baik berkawan.

'Kamu ni kenapa Noh? Mati bini ke tapi tak berbini lagi?' tanya Long Jani sambil mata tidak lepas memandang arah batang pancing dibaling sebelumnya.

'Tak ada apa-apa Pak Long' menjawab lemah Noh.

'Kamu tu sebelum lahir lagi aku dah kenal Noh. Beritahu aku. Aku ni taraf bapa kamu juga. Kamu risau raya nak dekat dah ni? Kamu tak cukup duit ke nak?' tanya lagi Long Jani.

'Duit memang tak pernah cukup Pak Long' senyum tawar Noh menjawab.

'Habis tu? Aku rasa kamu dok memikir tentang bapa kamu, betul?' tekaan kasar Long Jani.

'Siang tadi Ayah mengamuk di rumah. Dibalingnya barang-barang ke Mak dan adik-adik saya. Mujur saya ada dirumah waktu tu. Yang pecah nak kena berganti. Raya pun dah dekat ni. Ubat Ayah lagi. Beli beras lagi. Hutang dikedai pun entah dah berapa banyak. Segan saya dengan Pak Uda kedai runcit tu.' jelas Noh seperti membenarkan tekaan Long Jani ditambah fakta ekonomi beliau.

'Maaflah cakap tapi bapa kamu, Yahya , tu pemikirannya dah tak berapa betul macam kita orang sihat ni. Kita ni masih boleh berfikir. Kalau berjalan keluar rumah boleh berpakaian lengkap. Tapi bapa kamu tu dah tak dapat bezakan seluar dengan kain guni. Aku kenal sangat bapa kamu tu. Dulu kami sama-sama ke laut, macam ni hah' kata Long Jani menghela nafas, menandakan kasihan pada Noh dan keluarga.

Noh mengangguk lemah.

'Dah lah,tak usah kamu fikirkan sangat.' tambah lagi Long Jani.

'Aku ni tak la kaya, tapi kalau nak beri kamu 100 ke 200 ringgit tu boleh lah. Mujur anak aku si Fatimah tu memberi juga tiap tiap bulan. Dapatlah tambah tambah sikit untuk aku dengan Mak cik Dayah kamu tu. Esok siang kamu ke rumah aku ye Noh?Ambil duit. Kamu pakai dulu duit tu, tak usah fikir bila nak bayar. Lagi pun kamu tu takkan lari punyalah. Kalau lari pun aku minta Derih Gandum santaukan kamu. Hahaha!!' gurau Long Jani.

'Terima kasih Pak Long. Terima kasih.' jawab Noh sedikit gembira.

'Dah. Baling mata kail kamu ke laut.' arah Long Jani.



PAGI ESOK.


'Bang oi Bang, bangun Bang, bangun cepat!' sedikit tinggi suara Mak Dayah, isteri Long Jani.

Long Jani terus tertidur selepas sahur pagi tadinya. Rasa malas-malas nak bangun hujung-hujung minggu begitu. Teringat kenangan waktu bekerja dengan JKR dulu.

'Abang pergi tengok dirumah Yahya tu. Cepat Bang. Ada polis ramai-ramai datang.' jelas Mak Dayah yang membuat Long Jani terus segar bugar.

'Yahya? Noh ada datang sini dah ke?' tanya Long Jani.

'Noh anak Yahya tu? Tak ada Bang. Cepatlah pergi tengok rumah Yahya tu. Ramai polis disana tu. Cepat Bang. Risau saya si Lilah dan anak-anaknya tu. Entah Yahya mengamuk ke apa pagi-pagi ni' semakin cemas Mak Dayah. Dia dan Lilah, ibu Noh pangkat 2 pupu.

'Hah, yelah yelah. Kamu siapkan kopi cepat.' bingkas Long Jani.

'Kopi ke bendanya Bang oi!!Puasa ni!! CEPATLAH PERGI RUMAH YAHYA TU!!TENGOK SI LILAH ANAK BERANAK TU!!!!!' marah betul Mak Dayah.

'Hah yelah yelah' panik sedikit Long Jani. Berdesup sudah jejak kaki ke tanah.

Berlari-lari.

Kejauhan dilihat rumah Yahya dipenuhi orang kampung. Pihak polis kelihatan seperti tertekan dan berjaga-jaga. Nampak senapang dan pistol dihala ke rumah Yahya.

Ya Allah. Kenapa ni? Ya Allah selamatkanlah mereka sekeluarga- doa Long Jani menghampiri kawasan kerumunan ramai pagi itu.

'Hah Jani. Kamu baru sampai ke?' tegur Lebai Kasap. Bersama-sama beliau beberapa orang tua kampung mereka yang lain.

'Aku baru sampai. Kenapa ni? Yahya mengamuk ke?' tanya Long Jani kembali.

'Noh dah meninggal Jani. Anak saudara kamu tu disembelih Yahya lepas Subuh tadi. Ni pihak polis masih mencari apa cara paling sesuai masuk ke dalam rumah. Lilah dengan 2 orang lagi anak masih didalam, tak tahulah apa jadi. Nasib ada seorang adik Noh dapat lari keluar Subuh tadi. Dia yang beritahu orang kampung.' jelas Lebai Kasap.

'Sabar Jani. Kami tahu kamu rapat dengan arwah Noh tu. Dah ajal dia.' pujuk seorang tua lain.

'Betul ke ni?' tanya Long Jani menahan tangis. Baru malam tadi mereka bergurau-gurau ditengah laut, pagi ini sudah terpisah antara alam.

Lebai Kasap dan lain mengangguk.


p/s-Yahya menjadi gila kerana dimakan ilmu batin. Arwah Noh disembelih bapanya selepas selesai sahur paginya. Waktu ditemui leher beliau hampir putus dikerjakan bapanya sendiri. Lilah dan anak-anaknya yang lain pula terselamat kerana bersembunyi dalam bilik yang kukuh kayu pintu dan dinding.

Tiada ulasan: