Jumaat, 13 Disember 2013

Kenduri

Ini cerita lama, sebelum 1900 an dulu rasanya.

Dulu kalau kenduri dibuat orang kaya, orang ternama, wakil Sultan atau dukun bomoh pawang, sampai ke kampung kampung sebelah 1 kampung turun.

Jadinya seorang orang kaya ini mengadakan majlis kenduri kahwin untuk anak perempuan bongsu beliau. Besar besaran. Lembu kambing entah berapa ekor tumbang.

Orang orang kampung ramai ramai turun, sebab ini antara masa makan sedap. Biasa nak makan daging setahun sekali payah. Sedangkan masa itu tanah berelung relung, cuma tak ada usaha. Itu anak cucu sekarang tertanya kenapa nenek moyang kita dulu dulu senang senang sangat jual tanah macam jual pisang?

Balik pada kenduri tadi, datang seorang lelaki dagang. Tua orangnya. 60 ke 70 tahun umur. Nak tumpang meriah.

Entah macam mana ada pula tetamu lain terkurang ajar dengan lelaki tua tadi. Iyalah, orang dagang. Siapa sangat nak pandang? Dulu lah punya cerita.

Lelaki tua tadi diam saja dan mengundur diri. Tak sempat jamah apa.  Tak siapa pun kisah.

Tak lama kemudian, terbakar tiba tiba khemah kenduri. Seorang budak mati terpijak waktu tengah panik orang menyelamatkan diri.

Tapi kenduri masih dijalankan. Kenduri orang kaya lah katakan.

Tunggu punya tunggu rombongan lelaki tak sampai sampai.

Sampai ke tengah malam.

Esoknya tunggu lagi, tak sampai sampai.

Esok satu lagi baru sampai. Kenduri tetap diteruskan tapi semua orang dah rasa hairan.

Bila ditanya rombongan lelaki kata mereka sesat tak nampak jalan masuk ke kampung. Jumpa jalan bila seorang tua datang minta sedekah makanan.

Makin hairan orang semua.

Fikir fikir maka cuba dicari orang dagang tua tadi. Ikhtiar orang dulu dulu.

Tak jumpa. Pondoknya kosong tak berpenghuni lagi.

Sumber cerita daripada orang orang lama kampung penulis.