Selasa, 25 Oktober 2011

#104

"Aku balik dulu la Mat Piah....angpa semua." kata At kepada teman-temannya yang sedang sibuk merembat bola.

"Sat la sat la. Kita balik sama la. Sat ja. No?" balas Mat Piah yang tidak lepas memandang bulatnya bola.

"Nak gelap dah ni, aku pi dulu." sanggah At dan berpaling ke belakang.

"Ya la ya la" keras suara Mat Piah sambil menendang bola kali terakhir, untuk petang itu.

"Ang pi kelas Quran malam ni?" tanya Mat Piah dengan kepalanya masih memerhati kawan-kawan lain ligan mengejar bola.

"Pi la, dah Pak aku yang ajaq kita semua."jawab At.

"Tak mau tuang la. Pak ang tau ang nak monteng mesti ang kena balun siap punya. Malu la kat Tini ang tu." balas At lagi dan tersenyum. Tini kawan perempuan mereka yang turut mengaji sama di rumah At.

Mat Piah mengangguk dan memandang keliling. Suasana kuning-kuning petang.

Jalannya mereka semakin laju meninggalkan padang bola.

Suasana indah negeri Kedah pada tahun 60an dengan label pengeluar beras Malaysia sehingga kini. Masih lagi boleh menangkap ikan puyu di bendang, kerbau-kerbau bongkak dengan burung-burung gembala kerbau dan ular pun banyak juga menyusur mencari katak. Harus berhati-hati lebih.

Mereka akan melalui 1 kawasan kebun, 1 padang nyiok(kelapa) dan melalui lorong panjang untuk pulang ke rumah mereka. Rumah keduanya saling mengadap satu sama lain.

"Tadi di sekolah Chegu Zahidah ajar pa dia , aku tak berapa dok nak faham la At.." luah Mat Piah buat bubuk bicara.

"Ang tak faham tang mana? Yang dia ajar 'present tense' 'past tense' tu ka?Atau yang dia "ajaq" first person, second person, third person tu ka?" tanya At melayan kawan baiknya itu.

"Eh dak. Yang tu kita semua tak faham kut? Haha." melawak Mat Piah.

"Haha" balas At tertawa.

Mereka melepasi kebun dan melalui tepi padang 'nyiok'.

Suasana hijau sawah padi sangat indah. Memang sedap waktu malamnya nanti duduk dianjung rumah atau dibawah rumah tinggi gaya Utara-menikmati bayu lembut.

"Eh tu Tok Derih dok bawah rumah tu dia tu.." juih Mat Piah menunjukkan arah isi katanya.

"Ha ah la. Awat ang nak pi minta makan kat dia ka ?" kata At melawak kasar sikit.

"Takda pa la" balas Mat Piah melengas.

"Tok!!!" laung Mat Piah. Tegur menegur sesama penduduk kampung. Yang muda menghormati yang tua.

"Hurrm.." dengus Tok Derih. Sedikit garau seperti tekak tersumbat lendir selesema.

"Dah la tu. Tok Derih tengah marah kut.Ang ni.." perlahan At menutur pada Mat Piah yang mahu menyambung lagi.

Mat Piah melambai-lambai saja.

Sampai mereka ke lorong panjang untuk ke rumah mereka.

Zuppppp!!

Mat Piah dan At berlari sederas mungkin. Muka ketakutan saja keduanya. Teringat sesuatu.


Tok Derih telah meninggal dunia 2 hari sebelumnya.


p/s-penulis berbinkan At.

Tiada ulasan: