Selasa, 25 Oktober 2011

#103-Mistik dan orang terkenal

Disini dicatatkan 2 kisah-

1-Seorang lelaki berbangsa Cina yang pada masa depan akan menjadi taikun sebuah kawasan kasino dan rekreasi pergunungan terkejut apabila isterinya memberitahu

"Emak Abang mukanya kurus-kurus sikit, kulit putih-putih, macam Dewi Belas Ihsan? Saya mimpi Emak malam tadi. Dia kata masakan saya tak sedap." kata si isteri.

Lelaki tadi, Gouhtong terpegun. Beliau sendiri sudah bertahun tidak menemui Emaknya kerana jarak kedudukan. Memang tepat wajah Emak beliau dengan apa yang dikatakan si isteri.

Beliau berasal daripada Tanah Besar China manakala isterinya memang sudah lama beranak pinak di Tanah Melayu.

Perkahwinan mereka dilangsungkan pada waktu seluruh kawasan Asia diancam kemaraan Jepun. Tahun 40an. Cuma 2 meja hidangan saja waktu majlis perkahwinan.

Pernyataan isterinya itu kemudian terjawab apabila tidak berapa lama kemudian, beliau mendapat khabar Emaknya meninggal dunia.

Gouhtong berpendapat itu adalah usaha si Emak tercinta menghubungi anak tersayang sebelum meninggal dunia.

Sebagai tanda kenang-kenangan, Gouhtong membesarkan gambar foto mendiang Emaknya dan digantung dipejabat dan bilik tidur.


2-Waktu pembinaan jalan menuju ke puncak gunung yang bakal menjadikan Gouhtong orang ke 204 billionair dunia, pelbagai perkara dihadapi. Termasuklah beberapa kejadian yang hampir meragut nyawanya sendiri.

Pada mulanya pihak JKR mengandaikan 15 tahun diperlukan untuk membina jalan ke puncak(pada masa ini tiada lagi jentera moden seperti sekarang. Waktu itu tenaga manusia digunakan secara besar-besaran).

Apabila kertas kerja Gouhtong diterima, beliau mencadangkan 6 tahun masa pembinaan. Kerajaan bersetuju dan menambah sekiranya Gouhtong dapat menyiapkan kerja dalam 3 tahun termasuk pembinaan sebuah stesen pemancar dipuncak,beliau akan diberi subsidi RM900,000. Gouhtong berbesar hati menerima cabaran itu.

Gouhtong seorang yang sangat ambisi dan serius dalam bekerja. Demi cita-citanya mewujudkan kawasan percutian pelancongan dipuncak gunung idaman, beliau sendiri menyertai pekerjanya pada setiap tahap. Tambah pula semua sumber perniagaannya telah dialirkan ke projek ini.

Waktu bersama-sama pekerja menebas dan meneroka jalan ke puncak, ada pekerja mendakwa terserempak harimau.

Suatu masa, Gouhtong dan pekerja-pekerjanya tidur dalam sebuah gua bagi menjimatkan masa. Waktu tidur itulah menjelma Chin Swee, dewa yang dipuja oleh masyarakat ditempat asal beliau di China dahulu.

Chin Swee berpesan agar diteruskan usaha memajukan kawasan pergunungan itu. Semangat Gouhtong semakin membara kemudian.

Jika anda ke kawasan pergunungan yang telah dibangunkan dan sangat terkenal itu sekarang, anda akan melihat Kuil Chin Swee yang dibangunkan Gouhtong sendiri dibawah kawasan tumpuan utama gunung tersebut.

Oh ya, Gouhtong berjaya dalam jangkamasa 3 tahun menyiapkan jalan ke puncak.


Diambil isinya daripada buku Cerita Saya(Gouhtong). Hakcipta terpelihara.

Tiada ulasan: