‘Balik rumah sekarang, cepat!! Atuk meninggal!!!’
Pernyataan kata diatas adalah antara pengalaman paling menakutkan sepanjang hidup aku. Kehilangan orang penting dan disayangi adalah sesuatu yang diharapkan tidak akan terjadi. Bagaimanapun takdir Allah Taala tetap berjalan mengikut ketetapan. Ibu berderai airmata sebaik menerima khabar dari Kota Tinggi, tempat Atuk dijaga oleh keluarga Mak Andak.
(Atuk mempunyai rumah di Pontian, namun semenjak uzur 6 bulan lepas, kami sekeluarga bersetuju untuk Mak Andak menjaga Atuk di Kota Tinggi, walau kami sedikit keberatan, namun untuk kebajikan dan keselesaan Atuk maka kami relakan. Setiap bulan keluarga penulis ke Kota Tinggi menjenguk Atuk. Sempat juga seminggu sebelum pemergian Atuk, kami menginap di chalet di Tanjung Balau. Atuk kelihatan seronok melihat anak cucu cicit berkumpul.)
Maka kami sekeluarga bertolak maghrib tersebut.30 Julai 2010. Bertolak ke rumah keluarga Mak Andak di Felda daerah Kota Tinggi.
Jenazah Atuk terbujur mengadap kiblat.Dilapisi beberapa helai kain. Ditempatkan di sudut rumah Mak Andak. Penulis seakan tak percaya orang yang paling di sayangi selepas Ibu dan Ayah, telah menjauh pergi. Tak akan kembali lagi. Tak akan lagi tersenyum hidup-hidup melihat keluarga kami.
Menurut Pak Andak yang menjaga Atuk, pemergian Atuk sangat mudah. Siang harinya masih boleh berjalan-jalan dalam rumah, makan, mandi dan pelbagai lagi. Petangnya Atuk yang bergolek-golek diatas katil memanggil Pak Andak dari dalam bilik. Minta diurut. Pak Andak meminta Atuk mengikat kain pelikatnya yang sedikit longgar sambil keluar mencari minyak urut.
Sebaik Pak Andak masuk sekali lagi kedalam bilik, dilihat Atuk menarik nafas panjang. Nazak. Perlahan-lahan kendur dan selepas itu……..Terlalu senang Atuk pergi. Atuk tidak menunjukkan tanda-tanda sakit teruk kecuali uzur orang tua. Jam 5 setengah petang Atuk meninggal.
Oleh kerana menunggu waris-waris terdekat pulang, jenazah Atuk terpaksa bermalaman semalam di rumah Mak Andak. Keluarga penulis sampai jam 9 malam dan menunggu semua waris kuat pulang. Ada yang dari Segamat, Batu Pahat(Senggarang), Pontian, Kuantan, Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan lain-lain. Itulah sebabnya jenazah terpaksa bermalam semalaman. Menunggu semua waris kuat pulang berkumpul. Ibu dan Mak Andak berpelukan hiba mengenangkan Atuk yang juga bapa mereka berdua dan 5 beradik lagi.
Yang menahan kami seluruh keluarga dan waris daripada terus bersedih ialah apabila mengenangkan semua hajat Atuk terpenuh disaat-saat akhir kehidupannya. Semua yang pantang dimakannya semasa di Pontian semua diberi. Peliknya Atuk tidak pula alah. Maka semakin banyaklah diberi pada Atuk untuk dimakan. Mungkin Allah memberi peluang terakhir Atuk bermanja dengan keluarga buat kali penghabisan. Kami redha. Atuk meninggal pada hari Jumaat. Penghulu segala hari. Alhamdullillah.Alhamdullillah. Alhamdullillah.
Esok pagi jam 8. Perkarangan rumah Mak Andak dan Pak Andak dipenuhi orang. Cuaca, Alhamdullillah, cukup cantik. Kami menguruskan jenazah dengan cermat. Sewaktu dimandikan jenazah Atuk mudah diuruskan. Tiada najis tatkala diurut perut. Bersih. Anak cucu dan menantu yang lelaki bergilir-gilir menyabun badan Atuk. Kami semua menyayangi Atuk. Itu saja yang mampu kami lakukan untuk lelaki yang sangat berjasa ini selain mengirimkan doa. Kemudian jenazah Atuk dikapankan. Kami para waris mencium pipi dan dahi Atuk buat kali penghabisan. Jatuh air mata semua waris termasuk penulis juga. Biarlah.Demi Atuk yang disayangi.
Solat jenazah seterusnya didirikan. Rumah Mak Andak dan Pak Andak dipenuhi ramai orang, saf solat jenazah yang biasanya tak sampai 3 saf kalau-kalau berlaku kematian di Felda tersebut kebiasaannya, entah telah bertambah beberapa lagi saf kebelakang. Rezeki Atuk. Alhamdullillah.Alhamdullillah. Alhamdullillah. Pak Andak melahirkan ketakjuban kerana sepanjang hampir 30 tahun di Felda tersebut, inilah kali pertama kematian seseorang dipenuhi jiran-jiran dan juga entah sesiapa lagi untuk disembahyangkan. Syukurlah.
Hampir jam 11 setengah pagi jenazah Atuk selamat dikebumikan.Sewaktu Imam membaca talkin cuaca menjadi redup dan cerah sekejap-sekejap. Sebaik Imam menutup kitab talkin, cuaca terus menjadi panas. Angin bertiup sepoi-sepoi. Cuaca yang tenang dan cantik. Sedang waktu itu seluruh Johor bermusim hujan.
Kami mengiringi pemergian Atuk dengan sebanyak-banyak doa yang kami mampu.
Bersemadilah sudah Atuk di Kota Tinggi sedang sepanjang hidupnya lebih 90 tahun bekerja dan berkeluarga di Pontian. Takdir Allah kita tak akan pernah tahu. Kami juga tak mahu menyakitkan jenazahnya dengan perjalanan Kota Tinggi-Pontian yang memakan masa 2 jam melalui jalan Mersing-Kulai- Pontian.
Misterinya bermula…
Tahlil akan diadakan selepas Isyak. Penulis adik beradik dan sepupu-sepupu lelaki bersiap sedia menunggu jemaah datang sebelum maghrib lagi. Rumah Mak Andak terbahagi 3, ruang depan(35 ft x30ft), ruang tengah (35ftx35 ft) dan ruang dapur 35ftx10ft). Kami menunggu diruang depan.
Ibu penulis sedang berehat-rehat diruang tengah ditepi pintu setelah membantu menyiapkan hidangan untuk jemaah. Seorang Kakak saudara anak Mak Andak keluar sebentar menjemur kain ditepian sebelah ruang tengah. Ibu tiba-tiba mendengar suara orang perempuan separuh baya memberi salam diluar rumah.
Kakak saudara masuk kerumah seperti biasa, sedang kalau orang luar datang dan memberi salam sepatutnya orang diluar rumah yang akan nampak dan terdengar dulu, iya atau tidak? Namun hanya Ibu seorang saja yang mendengar. Bila dijengah tiada sesiapa. Ibu mendiamkan saja.
Tahlil kemudian tamat jam 10 malam.
Esoknya sedang sarapan, Pak Andak bercerita selesai tahlil semalamnya terdengar orang memberi salam, bila dijengah diluar tiada sesiapa. Rupanya bukan sekadar Pak Andak saja yang terdengar, ada lagi 2 atau 3 orang turut terdengar sama. Suara memberi salam tanpa kelihatan sesiapa . Maka Ibu teringat peristiwa semalam dan bercerita. Mengiyakan yang memang sah kejadian tersebut.
Kami semua terdiam mendengar cerita ini. Wallahualam. Apa yang pasti kami anggap kejadian misteri itu sebagai tanda kekuasaan Allah jua.
Al Fatihah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan