Sejak Atuk meninggal, keluarga besar kami semakin rapat dan selalu juga berkumpul di rumah arwah Atuk. Berkumpul sambil makan-makan, mendengar perkembangan keluarga masing-masing,merangka pelbagai program keluarga,bertukar pandangan dan mesti terselit cerita hantu. Ini cuma untuk seronok-seronok saja atau berbasa basi waktu berbual sesama keluarga dan tidaklah memberi peluang untuk orang mengatakan pemikiran orang Melayu masih dibelenggu rantai tahyul. Tidak sama sekali.
Suatu pagi usai mengemas keliling rumah arwah Atuk, Ayah penulis,Pak Andak, Bang Ngah Medan dan penulis duduk di koridor luar rumah. Bermula dari cerita mengecat rumah hinggalah ke hal mesin rumput masuk pula ke cerita berkenaan ancak sebagai intro cerita seram yang akan dikongsi di bawah;
1- Ayah penulis mengatakan arwah Atuk pernah bercerita padanya dulu di Pontian pada zaman 20 an ke 30 an, ada penduduk Pontian yang menyediakan jamuan untuk benda-benda mistikus ini. Arwah Atuk yang masih kecil waktu itu berpeluang beberapa kali melihat majlis buang ancak ini.
Seekor lembu yang diikat diatas rakit dihanyutkan dari muara Sungai Pontian menuju laut lepas. Mengeruh bunyi sang lembu dibawa arus air sambil diperhatikan penduduk Pontian yang berkumpul. Macam pesta.
Kemudian pada tahun 40an ke 50 an berganti dengan jamuan seekor kambing pula. Tahun berganti diganti dengan ayam pula beberapa ekor hinggalah amalan membuang ancak ini hilang dengan sendirinya. Alhamdullillah. Jika dilakukan secara persendirian tidaklah diketahui.
2-Pak Andak mengangguk selesai Ayah penulis bercerita. Pak Andak mengaku beliau turut berpengalaman membuang ancak sekali dahulu sebagai tuntutan kaedah perubatan untuk anaknya yang disampuk dahulu (rujuk cerita penulis ‘Pantai Balau’).
Penulis terkejut juga mendengar pengakuan Pak Andak begitu,tapi penulis tidak bertanya lanjut kerana jika diukur pengalaman Pak Andak dengan akademik moden, beliau sudah taraf ‘Master holder’. Bergurau saja, tidak sopan bertanya kerana hal ini mungkin dikira sensitif sedikit. Melayu beradab.
Berkaitan pengalamannya itu, Pak Andak pun bercerita beliau berseorangan ke Tanjung Balau suatu malam. Ditemani lampu suluh 5 bateri dan upih pinang yang didalamnya berisi entah apa sebagai ancak. Pak Andak meranduk kegelapan malam dikawasan berbatu menuju ke laut. Kedengaran tiba-tiba bunyi orang berbual di atas sebongkah batu besar. Pak Andak tidak pula takut untuk menyuluh ke arah bunyi kedengaran tadi. Tiada sesiapa.Pedulikan.
Waktu dibuang ancak tersebut, Pak Andak perhatikan upih pinang tersebut bergerak lurus menuju ke tengah laut dalam, tidak bersimpang siur lagak kalau daun dibawa air bergerak bentuk huruf ‘S’ ke kanan ke kiri. Upih pinang tersebut seakan dipandu sesuatu sebelum hilang ditelan kegelapan malam di laut.
Pak Andak pun bergerak pulang. Kedengaran lagi suara orang berbual. Disuluh lagi oleh Pak Andak. Tiada sesiapa. Menurut Pak Andak bahasa yang digunakan susuk-susuk misteri tersebut langsung tidak difahami tapi bunyinya sangat jelas. Alhamdullillah keadaan kemudian biasa-biasa saja.
Pada waktu malamnya pula, keluarga penulis berkumpul di bahagian depan rumah menonton televisyen. Penulis berbaring dibawah kipas angin, kebosanan kerana tiada laptop berinternet, memasang telinga. Kedengaran lagi cerita hantu.
3-Ibu penulis bercerita pengalamannya tumpang tidur di kuarters keluarga Abangnya yang bekerja sebagai atendan hospital. Waktu itu Ibu masih anak dara lagi. Kebetulan beberapa hari sebelum itu berlaku kejadian bunuh diri dikuarters tersebut. Bangsa India.
Suatu malam, Ibu terlihat ditingkap susuk manusia bergerak terawang-awang dikoridor kuarters tersebut. Seperti asap.
4-Ibu juga bercerita suatu masa beliau dan Ayah penulis tidur berdua orang saja di kampung di rumah arwah Atuk. Sepatutnya penulis juga turut tidur sama malam tersebut, tapi entah kenapa malam itu CDI motor penulis rosak,maka tidak lah dapat penulis menemani Ibu Ayah.
Menurut Ibu waktu mahu masuk tidur, kedengaran bunyi orang diluar rumah dibelakang dapur. Kemudian berbunyi jambak kunci dibawa sesuatu keliling rumah. Maka malam itu tidak dapat tidurlah Ibu dan Ayah penulis hingga ke pagi. Waktu tersebut diisi dengan membaca Quran dan Tahajud saja.
Penulis berasa kesal juga kerana tidak dapat menemani Ibu Ayah. Kalau tidak dapatlah juga menjenguk apa yang mengacau malam tersebut.Tidaklah penulis bercakap besar kerana sebagai waris kuat dan lahir pula di rumah arwah Atuk, kenapa pula kita perlu takut?
5-Penulis juga pernah beberapa kali mendengar pelbagai bunyi misteri semenjak rumah arwah Atuk ini kosong. Daripada salakan anjing hinggalah ke bunyian yang penulis sendiri tidak tahu mana arahnya. Pada penulis itu sebagai menandakan ada juga makhluk lain yang menumpang di bumi Allah ini selain manusia.
Wallahualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan